Hukuman penjara bekas jurulatih boling kerana amang seksual kekal

Hukuman penjara bekas jurulatih boling kerana amang seksual kekal

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara enam tahun terhadap bekas jurulatih boling yang didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang atlet Sukan Malaysia (SUKMA), lapan tahun lalu.

Panel tiga hakim Datuk Azman Abdullah, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid menolak rayuan dikemukakan Mat Salleh Jalani terhadap sabitan serta hukuman ke atasnya.

Azman semasa menyampaikan keputusan sebulat suara itu berkata mangsa tidak mempunyai alasan untuk mereka-reka keterangan berhubung perbuatan perayu.

Beliau berkata, hukuman penjara enam tahun dan pengawasan polis selama dua tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen dikekalkan untuk memberi kesedaran kepada perayu dan orang awam supaya tidak mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak.

Pada 16 Mei 2024, Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman itu terhadap Mat Salleh, 62, selepas mendapatinya bersalah melakukan perbuatan tersebut terhadap remaja lelaki yang semasa itu berusia 14 tahun satu bulan di sebuah taman perumahan di Marang, Terengganu pada Mac 2018.

Mahkamah Sesyen juga memerintahkan Mat Salleh berada di bawah pengawasan polis selepas tamat menjalani hukuman penjara.

Pada 22 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman itu selepas menolak rayuan Mat Salleh.

Pada prosiding hari ini, peguam Muhammad Abdul Rahman Ab Razak mewakili Mat Salleh manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim@Husaini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top