Hukuman setimpal terhadap pemandu mabuk sebab kematian

Hukuman setimpal terhadap pemandu mabuk sebab kematian

am@hmetro.com.my

Pasir Gudang: Badan kehakiman negara disarankan menjatuhkan hukuman berat terhadap individu yang memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dan dadah terutama insiden yang mengakibatkan kematian.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang juga pengamal undang-undang, ia bagi memberi pengajaran kepada masyarakat dan pelaku mengenai perbuatan tidak bertanggungjawab mereka.

Katanya pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 mendapat kelulusan di Dewan Negara serta Dewan Rakyat dan berkuat kuasa pada Oktober 2020.

“Kita (Parlimen) telah meluluskan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada Oktober 2020 berhubung hukuman berat terhadap pemandu mabuk, maka semua hakim dan majistret memahami apakah hasrat Parlimen menaikkan hukuman itu.

“Tambahan pula kes ini mengakibatkan kematian. Jika tidak dapat beri hukuman maksimum pun, tindakan sewajarnya perlu dikenakan secara tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan tegas terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian pasangan suami isteri pada 16 November lalu.

Terdahulu, Hassan mengunjungi anak-anak Allahyarham Mohd Ridzwan Mohd Rudi dan isteri Linda Mohd A Aziz di Flat Taman Cendana, di sini, hari ini.

Menurutnya, pegawai penyiasat juga perlu memainkan peranan dengan menyediakan laporan siasatan menyeluruh bagi memastikan pelaku dikenakan hukuman yang setimpal.

Katanya, ia bukan soal untuk mengheret pelaku ke mahkamah, tetapi untuk memenangkan kes ini dengan laporan siasatan yang lengkap.

“Saya harap kes ini dapat disegerakan (tuduh di mahkamah). Kita tidak mahu suspek ini terlepas hanya disebabkan faktor teknikal.

“Sebagai peguam, saya pernah alami perkara ini. Jadi, kita tidak mahu perkara ini berlaku,” katanya.

Dalam kejadian 4 pagi itu, suami isteri maut di lokasi kejadian selepas Honda Vario dinaiki dirempuh pemandu dipercayai mabuk di Jalan Besar/Jalan Mesjid, di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top