Hummels buat Spurs gigit jari

Hummels buat Spurs gigit jari

AFP

London: Tottenham Hotspur gagal meneruskan rentak cemerlang selepas mengejutkan Manchester City minggu lalu apabila Mats Hummels menjaringkan gol pada masa kecederaan untuk membantu AS Roma mencatat keputusan seri 2-2 pada aksi Liga Europa, awal pagi tadi.

Tottenham bermula dengan garang apabila Son Heung-min menyempurnakan sepakan penalti pada minit kelima selepas Pape Matar Sarr dijatuhkan oleh Hummels.

Evan Ndicka menyamakan kedudukan untuk Roma selepas menyudahkan sepakan percuma Paulo Dybala 15 minit kemudian.

Bagaimanapun Brennan Johnson kembali meletakkan Spurs di depan 11 minit sebelum berakhir separuh masa pertama.

Roma, yang sedang berdepan krisis, memberikan tekanan hebat di penghujung perlawanan di Stadium Tottenham, dan bekas pemain tengah Jerman, Hummels memanfaatkan peluang dari jarak dekat untuk menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

Skuad kendalian Ange Postecoglou kini berada di luar kelompok lapan teratas, yang layak secara automatik ke pusingan 16 terbaik.

“Kami sepatutnya menunjukkan lebih banyak ketenangan,” kata Postecoglou.

“Ada beberapa peluang kami yang berjaya diselamatkan di atas garisan. Pemain membiarkan lawan meneruskan rentak permainan mereka,” katanya lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top