Hurkacz, Khachanov langkah kanan

Hurkacz, Khachanov langkah kanan

Rotterdam: Hubert Hurkacz dari Poland dan Karen Khachanov dari Rusia memulakan kempen Terbuka Libema dengan kemenangan di Den Bosch, Belanda malam tadi manakala pilihan utama Liudmila Samsonova mengalami kekalahan mengejut kepada pemain kelayakan dari Kanada, Carson Branstine.

Dalam penampilan pertamanya di undian utama Jelajah WTA, Carson yang kini berada di ranking ke-231 dunia mencipta kejutan dengan menewaskan juara bertahan Liudmila 6-4, 5-7, 6-1.

Perlawanan mereka dihentikan kerana kekurangan cahaya selepas masing-masing memenangi satu set, tetapi Carson kembali mendominasi set penentuan tanpa menghadapi sebarang mata break dan berjaya memanfaatkan dua daripada empat peluang break yang dimilikinya.

Dia yang dilahirkan di California dan mewakili Amerika Syarikat sehingga 2017, akan menentang seorang lagi pemain kelayakan, Elena-Gabriela Ruse dari Romania dalam pusingan seterusnya.

Pilihan kelima, Hubert Hurkacz mengatasi masalah belakang yang memaksanya mengambil dua rawatan perubatan untuk menewaskan Roberto Bautista Agut dari Sepanyol 7-6(2), 6-4 dan mara ke pusingan kedua.

Pemain Poland berusia 28 tahun itu akan menentang Mark Lajal dari Estonia, 22 tahun, yang mengalahkan Laslo Djere dari Serbia 6-2, 6-4.

“Ini kali pertama saya di sini dan saya sangat menyukainya,” kata Hurkacz.

“Bermain di atas rumput memang menyeronokkan. Penghujung perlawanan agak mencabar, tapi saya harap saya akan lebih baik esok. Belakang saya sedikit sakit, tapi saya akan buat rawatan dengan fisioterapis nanti.”

Khachanov, pilihan ketiga, menang dalam tie-break set ketiga untuk mengatasi Mackenzie McDonald dari Amerika Syarikat 6-3, 5-7, 7-6(4) dan mara ke suku akhir.

Pemain Rusia itu akan berdepan pemain Kanada, Gabriel Diallo, yang menyelamatkan dua mata perlawanan sebelum menewaskan pilihan keenam Jordan Thompson 4-6, 6-1, 7-5.

Dan Evans dari Britain bangkit selepas ketinggalan satu set untuk menewaskan pemain Australia, Rinky Hijikata, 3-6, 6-4, 6-3, manakala Maria Sakkari dari Greece menewaskan wildcard tuan rumah, Anouk Koevermans, 6-3, 6-4.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top