am@hmetro.com.my
Hulu Langat: Sebarang penyahwartaan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) termasuk bagi penyelesaian isu penerokaan tanpa izin perlu diganti semula dengan keluasan sama di lokasi lain dalam negeri.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, tanggungjawab mencari tanah ganti itu tidak diletakkan ke atas pemohon, sebaliknya ditanggung kerajaan negeri bagi memastikan jumlah keseluruhan hutan simpan kekal untuk memelihara kelestarian alam sekitar.
Katanya, dasar penggantian ini sudah lama diguna pakai dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor bagi memastikan keluasan keseluruhan HSK berjumlah 250,987 hektar dikekalkan, walaupun tanah dimajukan atau diberi pajakan.
“Contohnya, sebelum ini ada kes pemaju yang memperoleh tanah seluas 30 ekar (12.1406 hektar) di Gombak bagi projek perumahan diwajibkan menggantikan semula kawasan itu dengan tanah dengan keluasan sama di Selangor, tidak boleh negeri lain dan pemaju bertanggungjawab mencari tanah ganti.
“Dalam kes 104 peneroka di Hulu Langat, kerajaan negeri bersetuju memberi satu ekar dan mencari kawasan gantian setara sama ada di Hulu Selangor, Sabak Bernam atau lokasi lain dalam Selangor supaya jumlah asal hutan simpan tidak berkurangan.
“Ini selaras dengan prinsip kelestarian digariskan kerajaan negeri,” katanya.
Katanya, penyelesaian isu terbabit memakan masa antara satu hingga dua tahun berikutan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Proses penyelesaian itu dimulakan dengan tindakan Jabatan Perhutanan Selangor memohon prosiding nyahwarta ke atas kawasan yang diteroka iaitu Sungai Gabai itu.
“Sebaik kawasan itu dinyahwarta, ia akan diserahkan kepada Pejabat Daerah Hulu Langat yang kemudiannya perlu mengenal pasti kawasan lain dalam daerah atau negeri untuk dijadikan ganti hutan simpan yang terjejas.
“Selepas nyahwarta selesai, barulah permohonan rasmi pajakan satu ekar (0,404 hektar) kepada 104 peneroka itu boleh diproses,” katanya.
Seterusnya Mohd Sany berkata, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) akan dipertanggungjawabkan mengukur kawasan itu.
“Tanah yang dimohon itu akan diukur semula dan sebarang infrastruktur seperti kolam ikan, kebun atau tapak perkhemahan hanya dikira dalam sempadan satu ekar (0.404 hektar) sahaja,” katanya.
Senyap-senyap gondol Hutan Simpan Ulu Langat
© New Straits Times Press (M) Bhd




