Hutang isi rumah berkembang pantas separuh kedua 2023

Hutang isi rumah berkembang pantas separuh kedua 2023

KUALA LUMPUR – Pada separuh kedua tahun 2023, hutang isi rumah berkembang pada kadar yang lebih pantas, dalam keadaan pasaran pekerja dan kegiatan ekonomi yang terus meningkat.

Pertumbuhan hutang keseluruhan terus didorong sebahagian besarnya oleh pinjaman perumahan dan kereta, yang secara kolektif merangkumi hampir tiga perempat (73.7%) daripada jumlah hutang isi rumah.

Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 Bank Negara Malaysia berkata, pertumbuhan pinjaman perumahan mencerminkan peningkatan secara menyeluruh dalam aktiviti pasaran harta kediaman, ditambah lagi dengan sokongan pengecualian atau pelepasan (remission) duti setem yang terus disediakan untuk pembeli rumah kali pertama.

Sementara itu, pinjaman kereta kekal pada trend menaik, disokong oleh jualan kereta yang lebih tinggi berikutan kempen promosi dan pelancaran model baharu, termasuk kenderaan elektrik, dalam tempoh tersebut.

Isi rumah terus mengambil lebih banyak hutang peribadi dan kad kredit dalam tempoh tersebut.

Walau bagaimanapun, bahagian hutang tidak bercagar daripada keseluruhan hutang isi rumah kekal tidak berubah (15.5% daripada jumlah hutang isi rumah).

Penelitian lebih lanjut pada hutang pembiayaan peribadi dan hutang kad kredit baharu juga menunjukkan bahawa risiko kekal terurus.

Menurutnya, kelulusan pembiayaan peribadi baharu oleh bank-bank pada tahun 2023 kepada peminjam daripada semua segmen pendapatan dikaitkan terutamanya dengan penyatuan hutang, yang membantu mengekalkan daya tahan isi rumah.

Pertumbuhan dalam hutang kad kredit terkumpul juga konsisten dengan pemulihan berterusan dalam perbelanjaan pengguna.

Selain itu, keperluan berhemat terus dilaksanakan untuk memastikan permohonan kad kredit baharu tertakluk pada penilaian kemampuan dan had kredit yang berpatutan.

Selaras dengan pemerhatian ini, transaksi pendahuluan tunai kad kredit kekal rendah pada 1.3% daripada jumlah transaksi kad (Jun 2023: 1.3%; purata 2015–19: 2.2%).

Bahagian baki pusingan daripada baki kad kredit terkumpul juga terus menunjukkan trend menurun kepada 47.9% (Jun 2023: 50.9%; purata 2015–19: 60.6%).

Pinjaman untuk pembelian sekuriti terus menurun (-13.8%; Jun 2023: -10.2%) didorong terutamanya oleh pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang lebih rendah kerana spread yang mengecil antara kadar pembiayaan dengan kadar dividen menjurus kepada
penebusan yang lebih tinggi serta permintaan baharu yang lebih rendah untuk pinjaman tersebut.

Setakat bulan Disember 2023, nisbah hutang isi rumah kepada KDNK dan nisbah hutang isi rumah sistem perbankan kepada KDNK masing-masing kekal tinggi pada 84.2% dan 69.5%. Walaupun begitu, isi rumah secara amnya kekal berdaya tahan.

Sekitar 70.9% daripada pemegang hutang sistem perbankan isi rumah terdiri daripada peminjam berpendapatan sederhana dan tinggi dengan pendapatan bulanan RM5,000 dan ke atas.

Median nisbah hutang kepada pendapatan keseluruhan adalah stabil pada 1.4 kali (Jun 2023: 1.4 kali) berikutan bank-bank mengekalkan piawaian pemberian pinjaman yang mantap .

Penunjuk lain juga menunjukkan keupayaan membayar hutang yang mampan.

Pada separuh kedua tahun 2023, nisbah khidmat hutang (DSR) bagi pinjaman isi rumah yang baru diluluskan dan terkumpul masingmasing berada pada 41% dan 35% (Jun 2023: 41% dan 35%), lantas menyediakan penampan yang kukuh untuk isi rumah bagi memenuhi obligasi pinjaman mereka.

Sementara itu, bahagian peminjam yang mempunyai DSR melebihi 60% secara amnya kekal tidak berubah pada kira-kira satu perempat daripada jumlah peminjam isi rumah.

Lebih dua pertiga (69%) hutang dengan DSR yang tinggi dipegang oleh peminjam berpendapatan sederhana dan tinggi yang lazimnya mempunyai penampan kewangan yang lebih besar untuk mengekalkan bayaran balik pinjaman sekiranya berlaku kejutan kewangan, dicerminkan dalam nisbah pinjaman terjejas yang rendah dan stabil dalam kalangan peminjam dengan DSR yang tinggi (1.2%; Jun 2023: 1.3%). – MalaysiaGazette