safeek@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, akan bersara wajib, esok, selepas 39 tahun berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Huzir, 59, yang digelar dengan panggilan ‘Hunter’, turut boleh disifatkan sebagai ‘Panglima Perang COVID-19’ selepas mengatur gerak pasukan JSJ dalam mengumpul kontak Kluster Masjid Sri Petaling yang mula dikesan pada awal Mac tahun lalu.
Anak jati Taiping, Perak, itu memulakan perkhidmatan dalam PDRM sebagai Pelatih Inspektor Percubaan pada Disember 1982 sebelum ditugaskan sebagai Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields hingga 1986.
Beliau kemudian ditempatkan di beberapa kontinjen dan jabatan dalam PDRM seperti Pasukan Polis Hutan (PPH), Jabatan Pengurusan, Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan (kini Jabatan Siasatan Jenayah Komersial) serta JSJ.
Sepanjang tempoh 15 tahun beliau berkhidmat dalam JSJ, banyak kes berprofil tinggi berjaya diselesaikan.
Antara lain, kes penculikan dan pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Morais, pada September 2015 yang membawa kepada penahanan sembilan suspek termasuk dua wanita; kes seorang Datin ditembak mati di Taman OUG, Jalan Klang Lama, pada Jun 2016 yang membawa kepada penahanan 12 suspek utama yang disyaki turut terbabit dalam tiga kes tembak lain; dan kes ketua Geng Satu Hati ditembak mati pada Julai 2016.
Huzir yang pernah dilantik sebagai Komander Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) pada 2013, turut berjaya menumpaskan kumpulan kongsi gelap dan jenayah terancang berbahaya yang terbabit dalam pembunuhan dan senjata api melalui Operasi Cantas (Op Cantas) seperti Geng 360 Devan, Geng 04 Perak, Geng Jin Jeet Tong dan Geng 36 Negeri Sembilan.
Pada 2017, Huzir dilantik sebagai Timbalan Pengarah JSJ (Risikan/Operasi) Bukit Aman, sebelum menjadi Pengarah jabatan itu dua tahun kemudian.
Meskipun memberi tumpuan kepada tugas hakiki, Huzir aktif sebagai pemain ragbi mewakili pasukan PDRM dan pernah menyertai pasukan kebangsaan dari 1981 hingga 1986, malah terbabit siri pertandingan antarabangsa di Jepun, Hong Kong, Australia dan Kanada.
Berikutan persaraan wajib Huzir, jawatan Pengarah JSJ akan dipangku oleh Timbalan Pengarah JSJ, Datuk Dev Kumar M M Sree.
© New Straits Times Press (M) Bhd




