PENGANJURAN HYROX Kuala Lumpur 2026 mendapat kelulusan bersyarat daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas pihak penganjur bersetuju mematuhi sepenuhnya Kod Sukan Selamat.
Kelulusan itu diberikan di bawah Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576), tertakluk kepada pematuhan Perkara 5.2 Kod Sukan Selamat serta semua syarat ditetapkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan.
Perkembangan itu menyusul kenyataan KBS pada 5 November lalu berhubung status penganjuran acara kecergasan berkenaan yang sebelum ini berdepan isu pematuhan kod tersebut.
KBS dalam kenyataan media pada Jumaat memaklumkan, pemantauan akan dilakukan sepanjang acara berlangsung bagi memastikan semua syarat kelulusan dipatuhi penganjur.
Kementerian itu turut mengalu-alukan penganjuran acara kecergasan massa seperti HYROX kerana mampu menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Selamat bertanding kepada semua peserta,” menurut kenyataan itu.



