IADA Kemasin Semerak berpotensi sebagai projek takungan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Pasir Puteh: Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak berpotensi sebagai projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dalam menyelesaikan masalah bekalan air bersih di Kelantan.

Menteri Air dan Alam Sekitar Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia memandangkan kawasan itu mempunyai takungan air yang besar dan sesuai untuk menampung keperluan air bersih negeri ini.

Beliau berkata, TAPS merupakan kaedah baharu yang diperkenalkan kementeriannya dengan menghentikan air takungan sebelum disalurkan semula ke laut dan dimanfaatkan sebagai sumber bekalan air.

Namun kata, sedikit masalah akan berlaku apabila air masin atau air laut pasang akan masuk dan ia akan menjadikan sumber air itu payau.

“Mungkin satu kajian boleh dibuat pihak kementerian untuk meneliti sejauh mana kita dapat mengawal air masin yang masuk.

“Jika ia sesuaia dan berfungsi dengan baik mungkin kita boleh jadikannya salah satu projek TAPS,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja di IADA Kemasin Semerak, Gong Kulim dekat sini.

Lawatan itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Pengarah IADA Kemasin Semerak, Nik Hamadi Nik Abdullah.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan bagi membina satu lagi pintu kawalan air pasang surut (TCG) di Pasir Puteh untuk mengurangkan risiko banjir di daerah berkenaan.

Menurut beliau, TCG itu akan dibina di kawasan Bukit Gedombak, dekat sini melalui Rancangan Malaysia ke-12.

 

ZA137 Malay News

National Desk