‘Ibarat bercakap dengan tembok, bukan manusia’

‘Ibarat bercakap dengan tembok, bukan manusia’
‘Ibarat bercakap dengan tembok, bukan manusia’

Rexy ditemubual pemberita ketika sesi latihan skuad badminton kebangsaan di Akademi Badminton Bukit Kiara pada Jumaat. FOTO: Bernama

PENGARAH Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky mengingatkan pemain supaya tidak memandang ringan soal disiplin selepas berkali-kali diberikan peluang untuk memperbaiki sikap oleh barisan kejurulatihan.

Menurutnya, kegagalan segelintir pemain berubah walaupun sudah menerima pelbagai teguran membuktikan isu berkenaan tidak boleh lagi dianggap perkara kecil dalam kem badminton negara.

“Amaran itu memang perlu tetapi kalau sudah banyak kali diingatkan, ia sepatutnya tidak berlarutan sampai amaran ketiga atau keempat.

“Kalau sudah sampai 10 kali diberi peringatan, itu ibarat bercakap dengan tembok, bukan dengan manusia,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Jumaat.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei yang sebelum ini menggesa aspek disiplin diberi perhatian serius jika Malaysia mahu kembali muncul sebagai kuasa besar badminton dunia.

Rexy berkata, beliau menyokong penuh pandangan legenda badminton negara itu kerana disiplin menjadi asas utama dalam membentuk kejayaan seseorang atlet, bukan sahaja dalam sukan malah dalam kehidupan secara keseluruhan.

“Saya bukan setuju 100 peratus, tetapi 10,000 peratus dengan apa yang diperkatakan Chong Wei.

“Dalam apa juga bidang, disiplin adalah perkara paling utama yang menentukan sama ada seseorang itu mampu berjaya atau tidak pada masa depan,” katanya.

Pada masa sama, Rexy menjelaskan disiplin bukan hanya berkaitan kepatuhan terhadap arahan jurulatih, sebaliknya membabitkan kesedaran pemain terhadap tanggungjawab sebagai atlet kebangsaan yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat.

Katanya, kebanyakan pemain masih muda dan ada kalanya terlupa setiap tindakan mereka membawa imej negara serta dinilai oleh penyokong.

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap pasukan profesional dunia mempunyai peraturan tegas termasuk mengenakan denda tinggi terhadap pelanggaran disiplin, justeru pemain negara tidak seharusnya mengambil mudah pendekatan lebih terbuka yang diamalkan BAM.

“Peraturan ini bukan kerana kami tidak suka kepada pemain tetapi disiplin itulah yang akan membantu mereka mencapai kejayaan,” katanya.

Scroll to Top