Ibarat mati hidup semula, Abdul Aziz pernah hanyut 19 hari di lautan

Ibarat mati hidup semula, Abdul Aziz pernah hanyut 19 hari di lautan

nfazlina@nstp.com.my

Tumpat: Dua belas tahun lalu, Abdul Aziz Daud disangka meninggal dunia oleh ahli keluarga selepas 19 hari dilaporkan hilang di laut.

Ia berlaku selepas bot dinaikinya bersendirian dibawa arus sehingga ke perairan Vietnam tanpa bekalan makanan.

Bapa kepada empat cahaya mata itu bagaimanapun kembali ke pangkuan keluarga pada hari ke-20 selepas tiba di Pulau Perhentian dalam keadaan tidak bermaya sebelum mendapat rawatan.

Namun selepas berdepan detik hitam itu, Abdul Aziz sehingga kini masih aktif mengemudi bot ke laut dan tidak sesekali trauma sebaliknya menyifatkan apa yang berlaku terus menguatkan dirinya sebagai seorang nelayan.

Abdul Aziz yang berasal dari Pulau Seratus berkata, biarpun dia dan ahli keluarganya menganggap apa yang berlaku tidak mampu terfikir dek akal, namun sehingga kini jiwanya masih di laut memandangkan pada usia 15 tahun dia sudah menceburi bidang itu.

“Segala yang berlaku selama 19 hari itu masih segar dan terpahat dalam ingatan saya walaupun saya kini sudah berusia 70 tahun dan akan dikenang hingga akhir hayat.

“Apa yang berlaku itu juga lebih mendekatkan diri kepada Allah kerana saya merasakan saya diberi peluang kedua oleh Allah, maka selepas itu sebelum saya turun ke laut saya akan pastikan sudah menunaikan solat,” katanya ketika ditemui di Jeti Kok Majid, sambil ditemani isterinya, Asiah Ismail, 62.

Mengimbas kejadian yang berlaku, Abdul Aziz berkata, segala-galanya bermula apabila dia mendapat panggilan daripada rakannya yang berdepan masalah bot rosak di laut dan meminta dia membantu.

“Sebaik mendapat panggilan berkenaan saya terus bergegas ke lokasi menggunakan bot rakan tanpa sebarang persediaan termasuk bekalan makanan.

“Dalam perjalanan menuju ke lokasi rakan, telefon saya tiada liputan talian menyebabkan saya tidak dapat menghubungi rakan. Saya masih ingat ketika itu hanya berbekalkan satu tong minyak saja.

“Disebabkan hilang arah ketika itu dan tidak dapat menghubungi sesiapa, bot kehabisan minyak dan pada masa sama berlaku ribut kuat yang menyebabkan bot saya naiki dibawa arus.

“Ketika itu saya hanya fikir mati kerana bot saya hampir karam apabila dipenuhi air. Keadaan bot ketika itu terumbang ambing, namun pada masa sama saya gagahkan diri juga mengeluarkan air.

“Saya berdepan situasi tanpa makanan selama tujuh hari dan hanya minum air. Saya pula ketika itu sudah tiada tenaga sebelum dipertemukan oleh pasangan suami isteri dan seingat saya ketika itu, bot dibawa ke Pahang,” katanya.

Dia berkata, suami isteri berkenaan hanya memberikan dia makanan selain mengikat bot miliknya supaya tidak dibawa arus, namun selepas beberapa jam dan disebabkan laut bergelora, bot miliknya sekali lagi dibawa arus.

“Selama beberapa hari pula saya tiada makanan dan akhirnya saya tiba di perairan Vietnam dalam keadaan keletihan dan tidak mampu berjalan. Ketika di sana walaupun sukar untuk berkomunikasi, nelayan Vietnam bantu saya dengan merawat, memberi makanan dan membaik pulih tangki bot yang bocor.

“Sepanjang tempoh itu saya berada di atas kapal nelayan Vietnam sebelum keadaan saya kembali sihat, saya diminta pulang dengan diberi bekalan minyak, makanan dan kompas.

“Selepas berhari-hari perjalanan dan pada hari ke-19, saya tiba di Pulau Perhentian dan pihak hospital sudah sedia menyambut saya untuk memberi rawatan,” katanya yang dihantar ke keluarga selepas menerima rawatan selama satu malam.

Dia berkata, walaupun anak dan isteri melarangnya turun ke laut, namun ia sudah sebati dan laut adalah jiwanya menyebabkan dia masih turun sehingga kini namun lebih kepada mencandat sotong.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top