Ibrahim A.S atau Abraham milik siapa?

NABI Ibrahim A.S berasal dari اور الكلدنين (Chaldean) atau tempatnya juga disebut dengan nama بابل (Babylon) di Iraq. Sarah isterinya juga berasal dari sana. Juga anak saudara Nabi Ibrahim A.S iaitu Nabi Luth A.S Bahasa pertuturan mereka ialah bahasa Ibrani.

Sementara Hajar Al-Qibthi (هاجر) isteri Nabi Ibrahim A.S yang kedua pula berasal dari Mesir. Sebab itu agaknya orang Mesir selalu sebut mereka ‘ibu dunia’ (أم الدنيا).

Dari isterinya Sarah yang menetap di Baitil Maqdis atau bumi Kan’an atau kini disebut Palestin, lahirlah Nabi Ishaq A.S. Dari Nabi Ishaq lahirlah Nabi Ya’qub A.S yang juga dijuluki dengan nama Israil (إسرائيل). Anak-anak Nabi Ya’qub seramai 12 orang termasuk Nabi Yusuf A.S dan Bunyamin. Keturunan mereka ini digelar Bani Israil. Dari Bani Israil inilah lahirnya Nabi Musa A.S dan Nabi Isa A.S.

Advertisement

Sementara dari isterinya Hajar, lahirlah Nabi Ismail (إسماعيل) yang kemudiannya berhijrah dan menetap di Bakkah atau Makkah sebagaimana yang kita semua tahu kaitannya dengan kisah pensyariatan Haji dan Korban. Nabi Ismail A.S berkahwin dengan wanita berbangsa Jurhum (satu suku Arab Asli yang berasal dari Yaman). Suku Arab Asli atau asal disebut ‘Aribah (عاربة). Campuran dari wanita berasal dari suku Jurhum dan Nabi Ismail inilah lahirnya Arab keturunan Hijaz (Makkah Madinah). Arab ini disebut sebagai Arab campuran atau musta’ribah (مستعربة). Dari Bani Ismail inilah lahirnya Nabi Muhammad S.A.W.

Apa yang ingin saya sampaikan?

Dari sumber sejarah Nabi Ibrahim A.S inilah berkembangnya 3 agama Samawi yang menjadi antara agama terbesar dan teramai pengikut dan pengaruhnya di dunia pada hari ini iaitu agama Islam, Yahudi dan Kristian (kita tidak bahaskan di sini bahawa Nabi Musa dan Isa bukanlah pengasas kepada agama yang telah menyeleweng tersebut). Islam tersebar ke seluruh pelosok dunia. Begitu juga Kristian yang boleh dikatakan menjadi agama rasmi di banyak negara di Barat secara khususnya. Sementara dalam masa yang sama kita tidak dapat nafikan pengaruh Zionis Yahudi dalam perkembangan sejarah penjajahan dan ideologi.

Ketiga-tiga agama besar dunia dan ideologi yang tercetus hasil dari rekayasa sebahagian penggerak Zionis ini, pusat sejarah asalnya bersumberkan beberapa wilayah utama tadi iaitu Iraq, Palestin, Mesir dan Semenanjung Arab. Maka tidak hairanlah kenapa wilayah-wilayah tersebut sentiasa kontroversi dan panas sehingga kini melibatkan kuasa-kuasa besar dunia.

Semua mereka mendakwa merekalah pemilik dan tuan. Berhujahkan cerita asal-usul bangsa dan negara, mendakwa silsilah yang berhubung dengan Abraham, Isaac, Jacob, Joseph, Solomon, David, Moses, Jesus dan sebagainya maka menghalalkan segala penaklukan, peperangan dan kezaliman. 

Di sinilah peripentingnya kita menghayati sejarah berkait pensyariatan ibadah Haji, Korban dan Aidiladha. Pentingnya untuk para Hujjaj yang berada di Makkah tadabbur dan tafakkur di saat menunaikan ibadah Haji. Begitulah juga kita yang menyambut hari raya dan melakukan ibadah korban di sini. Semuanya sangat berkait dengan Ibrahim A.S. 

Jika perbalahan dan perselisihan antara Kristian, Yahudi dan Islam berkaitan bumi Palestin hanya berdasarkan siapa tuan punya pribumi asal, atau siapa yang bersambung leluhurnya dengan Empayar Nabi Sulaiman dan sebagainya… Maka kesemuanya itu tidak akan selesai.. akan ada terus pertikaian… Siapa yang bunuh Nabi Zakaria? Siapa yang derhaka kepada Nabi Musa? Siapa yang mengkhianati Nabi Isa? 

Tapi, asas yang paling konkrit ialah kembali kepada dasar pegangan ajaran Nabi Ibrahim atau Abraham itulah sepatutnya yang menjadi titik utama. Tiada guna kita berbangga dan berhujah dengan leluhur datuk nenek moyang andai kita jauh tersesat dari pegangan dan ajarannya. Sebab itulah apabila kita membaca kisah Nabi Ibrahim di dalam al-Quran, kita akan melihat penekanan yang diberikan oleh Allah S.W.T berulang-ulang ialah persoalan tauhid. Nabi Ibrahim menekankan mengenai akidah yang benar, tauhid yang murni dan memerangi syirik. Penyerahan dan ketundukan diri (Hanifan Musliman) sepenuhnya hanya kepada Allah S.W.T:

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَٰكِنْ كَانَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

“Ibrahim bukanlah seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani, tetapi dia adalah seorang yang hanif/lurus lagi Muslim (seorang yang tidak pernah mempersekutukan Allah dan jauh dari kesesatan) dan sekali-kali bukanlah dia termasuk orang-orang musyrik.”

[Aali Imran: 67]

Inilah titik persamaan Nabi Muhammad S.A.W dan Nabi Ibrahim A.S. Inilah titik yang paling kukuh. Titik akidah. Kebenaran itu ialah pada iman dan Islam. Pada keyakinan yang lurus dan ketundukan jiwa yang tulus.

USTAZ HAZMI DIBOK – HARAKAHDAILY 21/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000836577438/posts/4118842718153573/