Ibu angkat bayi maut positif dadah

Ibu angkat bayi maut positif dadah

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ibu angkat bayi perempuan berusia tujuh bulan yang maut di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini, malam tadi, didapati positif dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid berkata, wanita terbabit dan suaminya yang turut ditahan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut kes itu.

Katanya, ujian awal saringan air kencing dilakukan terhadap suspek wanita terbabit mendapatinya positif dadah namun semakan lanjut mendapati wanita itu dan suaminya tiada rekod jenayah.

“Siasatan masih diteruskan dan (kertas siasatan) akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut. Setakat ini punca kematian mangsa masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Hari ini Harian Metro melaporkan, bayi perempuan berusia tujuh bulan maut selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan kebiruan dan lebam di badan di ruang tamu rumahnya di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad dipetik berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki pada 9.34 malam memaklumkan anak angkatnya tidak sedarkan diri di kediaman mereka tanpa sebab yang tidak diketahui.

Menurutnya, susulan itu, pihak polis ke rumah pasangan terbabit dan mendapati mangsa berada di ruang tamu dalam keadaan kebiruan dan penuh lebam di badan.

“Suami isteri berusia 38 dan 50 tahun itu kemudian ditahan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611),” katanya.

Berita berkaitan:

Bayi 7 bulan maut, ibu bapa angkat ditahanBayi 7 bulan maut, ibu bapa angkat ditahan

‘Tak pernah dengar bayi menangis’ – Jiran

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top