Ibu bapa dalam perjalanan pulang dari Makkah, tidak sempat hadir pengebumian penuntut UM

Ibu bapa dalam perjalanan pulang dari Makkah, tidak sempat hadir pengebumian penuntut UM

am@hmetro.com.my

Pasir Gudang: “Arwah adik ada luahkan rasa rindu pada umi dan abah sebelum kami hantar dia pulang ke kolej kediaman Universiti Malaya (UM) pada Ahad lalu,” kata Ahmad Auf Mohd Ali, 35, abang kepada Ahmad Arif Zawir, 22, yang maut terjatuh dari kolej kediaman, semalam.

Ahmad Auf ditemui selepas pengebumian jenazah adiknya di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah, Jalan Kong-Kong di sini, hari ini.

Menurutnya, bapa Mohd Ali Hashim, 63, dan ibunya Roslina A Rahman, 61, tidak dapat bersama-sama menguruskan jenazah Allahyarham kerana berada di Makkah, bertugas sebagai mutawwif yang membawa jemaah umrah sejak 7 Oktober lalu.

“Namun umi dan abah dapat mengikuti proses bedah siasat dan solat jenazah di UM pagi tadi secara langsung (Online) sebelum mereka menaiki penerbangan pulang pada 2 petang tadi.

“Mereka dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.30 tengah malam ini dan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) esok.

“Umi dan abah reda dengan pemergiannya kerana kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat. Mereka juga sempat menunaikan solat jenazah ghaib dari Makkah untuk arwah adik. Esok kami sekeluarga bersama umi dan abah akan menziarah kubur adik,” katanya yang bekerja sebagai jurutera.

Menurut Ahmad Auf, dia tidak mengesan sebagai perubahan ketara pada arwah yang juga anak kelapan daripada sembilan beradik itu dalam pertemuan terakhir, Ahad lalu.

“Saya tidak sangka itu pertemuan terakhir kami. Sebelum ini adik pernah cakap dia bercita-cita mahu menjadi ahli ilmuan Islam.

“Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memudahkan pengurusan jenazah… pihak UM, polis, forensik dan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.

Sementara itu, rakan kuliah arwah, Asyrafuddin Arif Amaluddin Arip, 22, menyifatkan Allahyarham seorang yang baik dengan semua orang dan tiada musuh.

“Dia sentiasa bawa tasbih dan buku agama, dia jarang bercakap tetapi sangat baik dengan semua orang.

“Kali terakhir berjumpanya 3 petang kelmarin selepas mengikuti kelas Pendidikan Etika Islam Dalam Sains dan Teknologi,” katanya.

Muhammad Faiz Fahmi Abdul Basir, 21, pula berkata, rakannya itu kelihatan gembira seperti kebiasaan dalam pertemuan mereka sebelum tragedi berlaku

Katanya juga, Ahmad Arif Zawir seorang yang sopan, berakhlak baik dan disenangi rakan kampus.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top