Warsaw: Tiga individu yang ditemukan maut di kediaman lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan di dataran utama Krakow pada Sabtu disahkan sebagai ibu bapa dan kakaknya, lapor stesen radio Poland RMF FM pada Ahad memetik jurucakap polis Andrzej Fijolek, menurut Agensi Berita Jerman (dpa).
Mayat mangsa ditemukan dalam satu operasi polis di rumah suspek berusia 24 tahun itu di Bandar Ostrowiec Swietokrzyski, kira-kira dua jam perjalanan ke timur laut Krakow, pada petang Sabtu.
Perdana Menteri Donald Tusk sebelum ini berkata ketiga-tiga mangsa dipercayai merupakan ahli keluarga terdekat suspek.
Lelaki berkenaan memandu keretanya ke dataran pasar Krakow yang sesak pada Sabtu lepas dan melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai.
Menurut angka rasmi, enam orang terbunuh manakala 16 lagi cedera, dengan beberapa mangsa berada dalam keadaan parah atau kritikal.
Motif serangannya masih belum jelas, namun Menteri Dalam Negeri Marcin Kierwinski pada Sabtu berkata dapatan awal menunjukkan suspek berpegang pada “fahaman yang sangat radikal.”
Presiden Karol Nawrocki mengisytiharkan dua hari berkabung peringkat kebangsaan pada Ahad dan Isnin.
Seorang daripada mangsa yang maut merupakan warga Britain, lapor agensi berita PAP yang memetik jurucakap polis.
Agensi itu berkata lima daripada mangsa yang cedera merupakan warga Jerman, Britain, Portugal, Rusia dan Austria.
Dua pegawai polis serta penyerang itu sendiri turut mengalami kecederaan.
Krakow merupakan destinasi pelancongan popular dengan dataran pasar serta deretan bangunan era Renaissance menjadi antara tarikan utama bandar raya berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




