Ibu bapa lega, murid kembali bersemangat duduki UPKK

Ibu bapa lega, murid kembali bersemangat duduki UPKK

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ibu bapa 80 murid Tahun 5 Sekolah Rendah Islam al-Afsari, Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, Selangor, menarik nafas lega apabila anak mereka dibenarkan menduduki Ujian Penilaian al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) pada 17 hingga 20 November ini.

Salah seorang ibu murid berkenaan, Mazlina Suradi, 50, berkata dia bersyukur apabila permasalahan itu berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat.

“UPKK adalah peperiksaan yang besar dan diperlukan oleh setiap murid yang mahu menyambung pelajaran ke institusi seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta sekolah berasrama penuh aliran agama.

“Justeru itu, saya berterima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Harian Metro atas usaha membantu anak kami mendapatkan hak mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mazlina berkata, anak bongsunya, Abdul Hakim Abdul Halim, 11, amat gembira apabila dimaklumkan dia boleh menduduki peperiksaan itu.

“Apabila dapat tahu dia tidak dapat menduduki peperiksaan UPKK, anak jadi tidak bersemangat sehingga tidak mahu pergi ke sekolah minggu ini.

“Namun selepas mendapat perkhabaran gembira malam tadi (bahawa 80 murid terbabit dibenarkan untuk ambil UPKK), anak jadi semangat dan terus mengulang kaji pelajaran,” katanya.

Beliau yang juga pengusaha taska berkata, isu yang berlaku itu menyebabkan dia bertekad untuk menukar sekolah anaknya pada tahun depan.

“Selain Abdul Hakim, kakaknya, Aina Qaisarah, 13, turut dihantar ke sekolah sama sebelum ini. Saya hantar mereka ke sekolah itu.

“Apabila masalah ini timbul, saya bercadang mahu menukar sekolah anak kerana tidak mahu isu sama berulang,” katanya.

Sementara itu, peniaga, Fariz Muhd Noor, 46, berkata, dia amat gembira apabila anaknya, Nur Syafieqah Alisha, 11, dapat mengambil peperiksaan itu pada tahun ini.

“Pihak sekolah juga sudah menghubungi semua ibu bapa murid terbabit hari ini untuk menandatangani borang untuk anak-anak ambil peperiksaan itu.

“Setakat ini, kami belum dimaklumkan lagi lokasi (sekolah lain) yang akan menumpangkan murid-murid berkenaan mengambil UPKK,” katanya.

Beliau menganggap perkara yang berlaku sebagai pengajaran untuk dirinya serta golongan ibu bapa supaya cakna mengenai status pendaftaran sekolah swasta anak masing-masing.

“Kita kena pastikan sekolah itu berdaftar terutama apabila anak-anak ada mengambil peperiksaan umum yang besar. Apabila sekolah mereka ada masalah pendaftaran seperti ini, ia akan menjejaskan masa depan anak.

“Saya sendiri sedang mempertimbangkan untuk menghantar anak ke sekolah (agama) lain sekiranya sekolah ini masih tidak tidak berdaftar pada tahun depan,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan hasrat 80 murid di sebuah sekolah rendah agama swasta di Saujana Putra, Kuala Langat, untuk menduduki UPKK 2025 tidak kesampaian apabila mereka tidak didaftarkan sebagai calon peperiksaan itu.

Ia susulan sekolah itu didapati tidak berdaftar dengan JAIS selaku agensi pelaksana Sistem Pendidikan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) negeri.

Bagaimanapun, hasil perbincangan dilakukan, pihak JAIS bersetuju memberikan kebenaran khas kepada kesemua 80 murid terbabit untuk menduduki UPKK 2025 dengan beberapa penyelarasan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top