Ibu bapa maut nahas dalam perjalanan hadiri konvokesyen anak, UMK hulur bantuan segera

Ibu bapa maut nahas dalam perjalanan hadiri konvokesyen anak, UMK hulur bantuan segera

am@hmetro.com.my

Bachok: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersedia membantu keluarga dan pengurusan pengebumian ibu bapa pelajar universiti berkenaan yang maut dalam nahas jalan raya di Lebuhraya Timur-Barat, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa menghala ke Gerik, petang tadi.

Kemalangan berlaku ketika pasangan suami isteri itu dalam perjalanan menghadiri konvokesyen anak mereka di UMK yang dijadualkan esok.

UMK menerusi kenyataan disiarkan di Facebook (FB) rasmi merakamkan ucapan takziah dan dukacita atas kehilangan ibu bapa kepada pelajar, Husna Syakira Abd Halim.

Kenyataan itu berkata, Husna Syakira adalah bakal graduan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) dalam program Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Perdagangan Pengedaran) dengan kepujian yang akan diraikan dalam Istiadat Konvokesyen kali ke-16 esok.

“Pengurusan universiti melalui Bahagian Kesejahteraan Mahasiswa, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) sudah mengambil tindakan segera dengan menggerakkan pasukan pegawai, wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan pegawai psikologi ke Hospital Gerik bagi memberikan sokongan kebajikan, membantu urusan dokumentasi serta menyelaras keperluan keluarga pelajar berkenaan.

“Sebagai sebahagian daripada usaha membantu keluarga, pihak universiti turut menyediakan van jenazah bagi pengurusan penghantaran pulang jenazah,” kata kenyataan itu.

UMK turut menunggu hasil siasatan lanjut daripada polis dan hospital bagi mengenalpasti punca kejadian dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkenaan.

Pihak universiti juga akan memberikan kerjasama dan sokongan sewajarnya kepada keluarga mangsa termasuk dalam urusan kebajikan dan keperluan berkaitan, bagi memastikan segala urusan dapat dilaksanakan dengan lancar.

UMK turut menyeru orang ramai menghormati privasi keluarga serta tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan demi menjaga sensitiviti dan tidak menjejaskan proses siasatan pihak berkuasa.

Dalam kemalangan jam 1.40 tengah hari, ibu bapa pelajar berkenaan maut manakala anak mereka parah selepas kereta pelbagai guna (MPV) yang dinaiki terbabit kemalangan dengan bas persiaran yang membawa 30 penumpang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top