am@hmetro.com.my
Ipoh: Penganjur acara renang terbuka Teluk Senangin Openwater Swim 2025 yang berlangsung di Teluk Senangin, Lumut menafikan dakwaan berlaku serangan ubur-ubur secara agresif atau dalam jumlah besar terhadap peserta acara itu semalam.
Sekretariat acara itu dalam kenyataan berkata, penggunaan istilah “serangan” adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan memandangkan acara itu sudah dirancang secara profesional dengan langkah keselamatan yang teliti.
Menurutnya, sebagai sukan air terbuka bertaraf antarabangsa, peserta, ibu bapa serta penjaga sudah dimaklumkan lebih awal tentang kemungkinan berdepan dengan faktor semula jadi yang tidak dapat dielakkan termasuk potensi terkena sentuhan ringan daripada hidupan laut seperti ubur-ubur.
“Kebanyakan peserta sudah biasa dengan risiko berkenaan dan membuat persediaan sewajarnya, selain pasukan perubatan lengkap di tapak acara.
“Kawasan pantai dipantau oleh anggota keselamatan air profesional serta penyelamat bertauliah. Tiada spesies berbahaya atau ubur-ubur berbisa ditemui di kawasan perairan itu semasa pemantauan dijalankan sebelum acara bermula.
“Ubur-ubur bukanlah ancaman luar biasa atau luar jangka bagi acara berenang di laut terbuka. Penganjuran acara antarabangsa seperti di Hawaii, Australia, Thailand, dan Filipina juga berdepan keadaan sama, malah kadangkala lebih mencabar.
“Namun acara berkenaan diteruskan dengan pemantauan keselamatan profesional, seperti mana yang sudah kami lakukan di Teluk Senangin,” kata kenyataan itu hari ini.
Dalam insiden semalam, sekurang-kurangnya 30 peserta yang majoritinya kanak-kanak berusia lingkungan 11 hingga 15 tahun daripada keseluruhan 225 peserta, disahkan disengat ubur-ubur.
Semua peserta terbabit hanya mengalami kecederaan ringan dan hanya tiga daripadanya menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Seri Manjung namun sudah dibenarkan keluar pada hari yang sama.
Menurut sekretariat acara itu lagi, tiada sebarang amaran merah atau tahap bahaya dikeluarkan oleh pihak berkuasa termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut berkaitan paras kehadiran ubur-ubur pada hari acara.
Mengulas mengenai anakanda kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah iaitu Raja Kecil Besar, Raja Azlan Muzzaffar Shah yang dilapor turut disengat ubur-ubur dalam acara itu, sekretariat acara itu memaklumkan baginda hanya cedera ringan di tangan.
Berita berkaitan:
Peserta acara renang disengat ubur-ubur: Penganjur patut rujuk pihak berkaitan sebelum acara – Exco
Peserta acara renang disengat ubur-ubur di Teluk Senangin
© New Straits Times Press (M) Bhd




