Ibu bapa perlu komunikasi dengan anak, elak teknologi ambil alih

Ibu bapa perlu komunikasi dengan anak, elak teknologi ambil alih

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Ibu bapa perlu sentiasa berkomunikasi secara lisan dengan anak-anak supaya teknologi tidak mengambil alih peranan berkenaan.

Pakar motivasi, Dr HM Tuah Iskandar berkata, memberi kesedaran sangat penting perlu dilakukan ibu bapa terutama ibu tunggal kerana golongan itu tidak mungkin dapat mengawal anak sepenuhnya sepanjang masa.

“Kelemahan kita hari ini ialah kurang menasihati secara berdepan jadi komunikasi lisan mesti terus sentiasa dilakukan, usah biarkan teknologi siber mengambil alih.

“Ibu bapa tiada pilihan selain kerap bercerita tentang bahaya scamming atau apa-apa saja keburukan teknologi siber supaya mereka peka,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yang mengingatkan golongan ibu supaya lebih berhati-hati dan berimbang terutama dalam membimbing anak-anak tentang penggunaan teknologi.

Mengulas lanjut, HM Tuah berkata, ibu bapa perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak.

“Usah biarkan teknologi siber mengambil alih. Kemudahan teknologi di hujung jari memang memudahkan orang dan yang membolehkan diri terhindar ialah faham dan sedar tentang bahaya-bahayanya,” katanya.

Semalam, Nancy dilaporkan berkata, golongan ibu muda ketika ini berdepan pelbagai cabaran termasuk kos sara hidup yang tinggi.

“(Selain turut berdepan dengan) tekanan kerja dan keluarga, kekangan kewangan, kekurangan masa untuk diri sendiri serta beban tanggungjawab pendidikan anak-anak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top