Ibu bapa sakitkan hati anak, berdosakah?

Ibu bapa sakitkan hati anak, berdosakah?

SELAMA ini, anak-anak memang dididik supaya menghormati ibu bapa dan tidak sesekali menyakiti insan yang telah mengandung, melahirkan dan membesarkan mereka.

Apatah lagi, sudah menjadi kewajipan kita untuk mentaati orang tua kerana Islam meletakkan kedudukan ibu bapa pada martabat yang tinggi.

Meskipun demikian, ibu dan ayah tidak boleh menjadikan kelebihan itu sebagai alasan untuk menyakiti hati anak-anak. 

Walaupun bibir sering mengungkapkan kasih sayang dan hati sarat dengan cinta mendalam terhadap zuriat masing-masing, namun sebagai manusia biasa, ibu bapa juga tidak terlepas daripada menggores hati anak mereka.

Adakah dosa hanya tertanggung pada anak jika mereka menyakiti hati orang tua? Benarkah ibu bapa tidak menanggung dosa sekiranya melakukan perkara sama terhadap anak? 

Menjawab persoalan itu, pendakwah tersohor, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, perbuatan menyakiti hati sama ada oleh anak kepada ibu bapa atau sebaliknya tetap dikira dosa dan haram dilakukan.

USTAZ AZHAR

USTAZ AZHAR

“Ayah tidak boleh sakitkan hati anak dan anak juga tidak boleh sakitkan hati ayah. Begitu juga dengan emak. Emak tidak boleh sakitkan hati anak dan anak tidak boleh sakitkan hati emak. 

“Cuma (ibu bapa) ada kelebihan yang lain iaitu wajib taat daripada anak kepada ibu bapa, (tetapi) ibu bapa tidak wajib taat kepada anak. Itu bezanya,” jelas beliau menerusi video soal jawab agama yang dikongsikan di akaun YouTube miliknya baru-baru ini.

Jelas agamawan itu lagi, kedudukan ibu bapa sebagai insan yang perlu dihormati tidak memberi ruang untuk anak bersikap biadab atau berkasar terhadap mereka walaupun dalam keadaan tertentu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, dosa-dosa lain seperti mengumpat atau mencuri harta bukan sahaja terpakai kepada anak, malah turut membabitkan ibu bapa.

“Anak mengumpat ibu bapa, haram (hukumnya). Ibu bapa mengumpat anak, haram juga. 

“Anak curi harta emak, haram (hukumnya). Sama juga halnya jika emak yang mencuri harta anak, haram hukumnya,” terangnya.

KEDUDUKAN ibu bapa sebagai insan yang perlu dihormati tidak memberi ruang untuk anak bersikap biadab atau berkasar terhadap mereka walaupun dalam keadaan tertentu, tetapi dosa-dosa lain seperti mengumpat atau mencuri harta bukan sahaja terpakai kepada anak, malah turut membabitkan orang tua. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

KEDUDUKAN ibu bapa sebagai insan yang perlu dihormati tidak memberi ruang untuk anak bersikap biadab atau berkasar terhadap mereka walaupun dalam keadaan tertentu, tetapi dosa-dosa lain seperti mengumpat atau mencuri harta bukan sahaja terpakai kepada anak, malah turut membabitkan orang tua. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Dalam hal ketaatan, Ustaz Azhar menekankan, anak mempunyai tanggungjawab yang jelas terhadap orang tua masing-masing.

“Anak wajib taat kepada ibu bapa. Dia (ibu bapa) kata jangan pergi, maka tak boleh pergi. 

“Tapi kita pergi juga sebab lebih mengutamakan kawan-kawan. Kalau kawan kata jangan pergi, baru kita tak pergi,” katanya memberi peringatan.

Scroll to Top