PETALING JAYA: Polis menahan ibu dan bapa saudara kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut terjatuh dari tingkat 30 sebuah pangsapuri di Jalan Jalil Impian 1 Bukit Jalil, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, kedua-dua mereka yang merupakan warga Indonesia berusia 27 dan 25 tahun itu direman bagi membantu siasatan berhubung kejadian.
Beliau berkata, penahanan itu dibuat bagi siasatan Siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Bapa kanak-kanak itu merupakan warga tempatan dan telah berkahwin dengan ibu mangsa yang merupakan warga Indonesia.
“Hasil bedah siasatan yang dilakukan, kanak-kanak itu maut selepas mengalami pelbagai kecederaan akibat terjatuh dari tempat tinggi,” katanya di sini.
Beliau menambah, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kejadian itu berlaku.
Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 30.
Pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian selepas menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada pukul 11.17 pagi daripada seorang lelaki.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai jatuh dari balkoni kediaman terletak di tingkat 30 salah sebuah blok di pangsapuri terbabit.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) bagi proses bedah siasat. – UTUSAN