Ibu bapa tiada niat abai Zayn Rayyan, pembela mohon OKT dilepas, dibebaskan

Ibu bapa tiada niat abai Zayn Rayyan, pembela mohon OKT dilepas, dibebaskan

surayaroslan@mediaprima.com.my

Petaling Jaya: Pihak pembelaan menghujahkan tiada elemen niat bersama pengabaian yang dilakukan ibu bapa kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin seperti pertuduhan ke atas mereka.

Malah, keterangan menunjukkan orang kena tuduh (OKT) kedua iaitu Ismanira Abdul Manaf sentiasa peka terhadap anak autistiknya iaitu pada masa material menggunakan deria pendengaran sebagai bentuk pengawasan yang sesuai dengan keperluan kanak-kanak itu.

Dalam penghujahan bertulis itu yang diperolehi media yang difailkan oleh Tetuan Haresh Mahadevan & Co pada 23 Mei lalu, pihak pembelaan turut menghujahkan Ismanira yang menangis ketika mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai adalah konsisten dengan kelakuan seseorang yang tidak bersalah.

Menurut pembelaan, reaksi itu diperoleh hasil keterangan saksi pendakwaan keempat (SP4), Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin yang mengesahkan Ismanira menangis ketika mayatnya ditemukan pada 6 Disember 2023.

Pegawai polis itu dalam keterangannya menyatakan, Ismanira sebelum itu berusaha mencari kanak-kanak itu di beberapa lokasi namun mangsa tidak berjaya ditemukan kemudian membuat laporan polis sehari sebelum itu.

Keterangan itu turut disokong oleh keterangan SP16,yang melihat Ismanira aktif mencari Zayn Rayyan dari dua arah berlainan dalam keadaan berpeluh-peluh.

“Kami percaya pihak pembelaan sudah menimbulkan banyak keraguan dalam kes pendakwaan.

“Justeru pihak pembelaan dengan rendah diri memohon kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri,” kata hujahan bertulis setebal 127 muka surat itu.

Hujahan bertulis itu juga mengemukakan alasan mengapa Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari patut dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu tanpa dipanggil membela diri.

“Tiada bukti yang boleh mengaitkan perlakuan Ismanira dengan pengabaian terhadap Zayn Rayyan seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

“Selain itu, tiada saksi mata (eye witness) yang melihat Ismanira mahupun suaminya mengabai anak mereka melainkan tanggapan itu dibuat hanya berdasarkan kepada tafsiran pegawai penyiasat,” katanya.

Menurut pembelaan, keterangan berbentuk pendapat tidak boleh diterima oleh Mahkamah Sesyen kerana tiada bukti langsung (direct evidence) yang menyokong pertuduhan terhadap kedua-duanya.

Pembelaan turut menyatakan, tindakan Ismanira meninggalkan Zayn Rayyan berjalan di belakang ketika pulang dari sekolah pada tengah hari mangsa dilaporkan hilang, juga bukan suatu pengabaian.

Hujah pembelaan itu disokong oleh keterangan SP10, Nasimah Abu Bakar yang menjelaskan Zayn seorang kanak-kanak autisme yang pasif dan berkelakuan baik serta boleh bergantung kepada petunjuk harian.

Dalam penghujahan itu, pihak pembelaan turut membangkitkan isu bahawa polis cuba mempengaruhi saksi-saksi secara tidak wajar untuk mengenakan tertuduh.

Keterangan itu diperolehi menerusi Nasimah yang mengaku beberapa saksi dipanggil berkali-kali untuk mengubah pernyataan kepada polis.

Pada 24 April lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas 28 saksi memberi keterangan dalam prosiding perbicaraan yang berlangsung selama 20 hari bermula 4 Februari lalu.

Antara saksi yang dipanggil pendakwaan adalah eksekutif jualan, Faizul Najib Abd Munaim yang menemui arwah Zayn Rayyan atas timbunan pasir di aliran sungai; pengasuh, Auni Afiqah Abas; guru prasekolah pendidikan khas, Siti Aminah Nor Mad Ali dan dua saksi kanak-kanak berusia 10 tahun.

Selain itu, saksi lain ialah pakar patologi, Dr Rohayu Shahar Adnan; pakar pediatrik, Dr Bernice Lim Pei-Yi dan dua pegawai penyiasat yang menyiasat kes kehilangan kanak-kanak itu.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 21 Julai ini bagi keputusan ibu dan bapa Allahyarham Zayn Rayyan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.

Keputusan sama ada Zaim Ikhwan dan Ismanira dilepas atau dipanggil membela diri diakhir kes pendakwaan akan ditentukan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top