Kuala Lumpur: Ibu bapa kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin yang berdepan pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menyemak semula pertuduhan dihadapi mereka.
Peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf berkata representasi berkenaan telah difailkan pihaknya pada 19 November lalu.
“Saya telah hantar representasi pada 19 November lalu untuk memohon pihak AGC menyemak semula pertuduhan bagi menarik balik pertuduhan terhadap kedua-dua anak guam saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada 18 September lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Dr Syahliza Warnoh menetapkan 6 Disember ini bagi pengurusan kes untuk mengetahui keputusan representasi selepas pembelaan memaklumkan pihaknya akan mengemukakan representasi dalam tempoh terdekat.
Tarikh perbicaraan kes itu telah ditetapkan mahkamah selama 15 hari iaitu bermula 20 hingga 24 Januari 2025 serta 3 hingga 7 Februari dan 17 hingga 21 Februari tahun sama.
Seramai 15 saksi pendakwaan akan dipanggil dalam perbicaraan kes berkenaan.
Pada 13 Jun lepas Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berumur 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada Disember 2023 di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




