Ibu dan anak dikhuatiri lemas, dihanyutkan arus deras akibat banjir

Ibu dan anak dikhuatiri lemas, dihanyutkan arus deras akibat banjir

am@hmetro.com.my

Padang Terap: Dua beranak dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan air deras akibat banjir di Kampung Tanjung Kiri, Jalan Padang Sanai, di sini, hari ini.

Mangsa, Muhammad Rosman Rohaidi, 19, dan ibunya, Salmah Md Zain, 48, yang dipercayai cuba berpaut pada pokok sebelum dihanyutkan air deras.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Aminuddin Mad Khozari berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.29 pagi.

Beliau berkata, seramai 12 anggota dari BBP Kuala Nerang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Faizal Che Mie tiba di lokasi tidak lama kemudian.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 yang memaklumkan dua mangsa dihanyutkan air deras akibat banjir kilat.

“Tindakan yang dilakukan adalah dengan melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggunakan bot aluminium,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aminuddin berkata, maklumat berkaitan mangsa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Media sebelum ini melaporkan, beberapa lokasi di daerah ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat lebih dua jam yang melanda, malam tadi.

Berikutan itu, pasukan penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam Daerah (APM) dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang melakukan tinjauan di lokasi yang terjejas dinaiki air dan membantu memindahkan mangsa ke tempat selamat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top