Ibu Iskandar Affan tak sangka perasaan tak sedap hati jadi kenyataan

Ibu Iskandar Affan tak sangka perasaan tak sedap hati jadi kenyataan

am@hmetro.com.my

Kepala Batas: Ibu kepada kanak-kanak lelaki tujuh tahun yang maut dalam nahas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki bersama enam keluarga lain di Jalan Pinang Tunggal, dekat Sungai Petani, petang semalam, tidak menyangka perasaan tidak sedap hati akan bakal kehilangan anak dalam kemalangan jalan raya menjadi kenyataan.

Lebih memilukan, Atikah Ahmad Syukri, 40, bukan sahaja kehilangan anak bongsunya, Iskandar Affan Ibrahim, malah ibu serta dua adik lelakinya akibat nahas tragis berkenaan.

Menurut Atikah, arwah Iskandar kerap memeluknya walaupun dia ada menegur perbuatan anak lelakinya itu supaya berkelakuan baik.

“Arwah manja sangat dengan saya sejak kebelakangan ini, tambahan pula dia anak bongsu dari dua beradik yang dia sering memeluk saya dan walaupun ada masanya termarah dia tetapi dia tidak ambil hati.

“Dia pula berminat sangat dengan kereta yang setiap kali melihat kereta pasti dia teruja, jadi bila dia nak ikut dua pak ciknya (adik-adik saya), saya pun tiada halangan tetapi tidak menduga mereka terbabit kemalangan.

“Beberapa bulan lalu, saya sudah tidak berasa sedap hati seolah-olah akan kehilangan anak dalam kemalangan, yang tidak sangka ia telah menjadi kenyataan, malah bukan hilang anak sahaja tetapi ibu serta dua adik lelaki saya,” katanya dalam nada hiba ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Kuang, Penaga, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 3.50 petang semalam itu, Iskandar Affan dikatakan mengikut bapa saudaranya pada saat akhir kerana mahu menaiki kenderaan baharu yang diambil di pusat jualan di Juru kurang lima jam sebelum kemalangan.

Mereka sekeluarga ketika itu dipercayai dalam perjalanan ke Merbok untuk menziarahi kubur ahli keluarga, sebelum kenderaan dinaiki terbabit nahas dengan sebuah lori membawa muatan tanah yang menghala ke Tikam Batu.

Atikah berkata, hubungan dia bersama dua adik lelakinya itu sangat rapat, malah arwah Ahmad Syafiq yang bertugas sebagai anggota polis adalah tonggak keluarga selepas pemergian bapa sejak tiga tahun lalu.

“Hubungan kami adik beradik memang sangat baik dan rapat yang pemergian mereka secara mengejut amat meruntun jiwa saya,” katanya

Sementara itu, Ibu saudara Iskandar Affan, Nor Zamilah Ghazali, 40-an, berkata pada mulanya keluarga mereka hanya dimaklumkan mengenai kematian nenek Iskandar.

“Kami pun terus bergegas ke lokasi kejadian dan apabila melihat keadaan kereta terus jadi lembik (lemah) lutut tambahan pula bomba maklum hanya seorang sahaja selamat dan yang lain-lain semua tidak selamat.

“Keluarga mereka ini tersangat rapat, selalu buat aktiviti bersama , jika salah seorang tak cukup bajet , mesti adik-beradik yang lain akan bantu sebab arwah ayah mereka dah ajar macam itu,” katanya.

Jenazah Iskandar Affan selamat dikebumikan sebaik tiba di kampung halamannya kira-kira 2 pagi tadi, manakala lima mangsa yang lain dijangka dikebumikan jam 7 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Simpang Tiga Pasir, Merbok, Sungai Petani.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top