am@hmetro.com.my
Sekinchan: “November tahun lalu, ibu pernah cakap Allah SWT bagi masa 40 hari kepada dia untuk jaga saya. Tak sangka kata-kata itu akhirnya menjadi kenyataan,” kata Mohd Arif Husaini Mohd Azli, 13.
Mohd Arif Husaini adalah anak tunggal kepada Noor Hidayanti Ngisah @ Norman, 45, yang maut dalam nahas di Jalan Tali Air 4, Ban 2, Tanjong Karang, semalam.
Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari, guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Sireh itu yang parah di perut meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tanjong Karang.
Terdahulu, mangsa dipercayai dalam perjalanan untuk mengajar sebelum motosikal Honda Wave ditunggangnya dirempuh Perodua Kenari dipandu lelaki berusia 52 tahun.
Menceritakan kembali saat itu, Mohd Arif Husaini berkata, arwah menghantarnya ke Sekolah Agama Menengah (SAM) Pasir Panjang dengan menunggang motosikal sebelum memaklumkan tertinggal songkok di rumah.
“Apabila saya beritahu untuk patah balik (ambil songkok), ibu beritahu jauh untuk berbuat demikian dan kami juga sudah sampai di hadapan pintu pagar sekolah.
“Ibu pun cakap perkara itu kepada saya. Mula ingatkan gurauan rupa-rupanya jadi betul-betul (meninggal dunia),” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Tali Air 7, Sungai Leman, di sini, hari ini.
Mohd Arif Husaini berkata, sewaktu hayat arwah adalah seorang ibu yang baik namun tegas dalam mendidik khususnya soal agama.
“Ibu sediakan segalanya daripada pakaian hingga peralatan sekolah.
“Walaupun sudah tiada dan rindu keberadaannya, saya reda dengan ketentuan Allah SWT berdoa supaya diampunkan dosanya,” katanya.
Sementara itu, ibu Noor Hidayanti, Kartina Husin, 65, berkata kali terakhir dia berjumpa arwah semalam yang bersiap-siap untuk ke sekolah.
Suri rumah itu berkata, malam kelmarin arwah juga sempat mengajar al-Quran kepada 15 kanak-kanak di rumah mereka.
“Sebelum meninggal dunia, anak sulung saya tidak menunjukkan sebarang petanda ganjil atau aneh.
“Dia sangat sayang kepada kanak-kanak dan haiwan. Saya sekeluarga mulanya tidak percaya arwah sudah tiada namun takdir Allah SWT mengatasi segalanya,” katanya.
Kartina berkata, jenazah Noor Hidayanti sebelum itu disolatkan di Masjid Nurul Falah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Leman.
“Semasa di masjid, saya tertanya-tanya kenapa ramai sangat hadir untuk sembahyangkan arwah? Mungkin ada kebaikan arwah lakukan yang saya tidak tahu.
“Arwah anak yang baik dan mendengar kata keluarga terutamanya saya. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang beriman,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




