nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keterujaan seorang ibu menyambut cahaya mata pertama lelaki pertama bertukar duka apabila bayinya berusia 22 hari meninggal dunia ketika tidur.
Menceritakan semula kisah dukanya itu, Nabilah Huda Abdul Shukor, 32, berkata, dia melahirkan bayinya, Aariz Hayyan Mohd ‘Abqari dengan sihat dan tanpa sebarang komplikasi sepanjang kehamilan mahupun ketika proses kelahiran pada 9 Januari lalu.
Menurutnya, kejadian menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu berlaku pada awal pagi 30 Januari lalu sebelum disedari kira-kira jam 6 pagi.
Katanya, bayinya tidur jam 2.30 pagi pada hari kejadian dan hanya menyedari kejadian itu selepas dikejutkan suami, Mohd ‘Abqari Noor Azman, 35, jam 6.40 pagi ketika dia mahu bersiap ke tempat kerja.
“Ketika itu, bayi kami kelihatan pucat pada tangan dan kaki, manakala bahagian kiri kepalanya bertukar kebiruan. Saya nampak dia sudah tidak bernafas dengan tangan dan kakinya sudah sejuk.
“Posisi badannya ketika itu dalam keadaan terlentang dengan kepala menghadap ke bahagian kiri iaitu ke arah saya iaitu sama seperti posisi terakhir ketika meletakkannya tidur,” katanya.
Nabilah yang bekerja sebagai penganalisis perniagaan berkata, dia sama sekali tidak menyangka anaknya itu meninggal dalam tidur ketika dirinya masih dalam berpantang.
“Setiap malam, anak tidur di tilamnya sendiri pada waktu malam dan sebelum tidur, saya akan pastikan persekitaran semua dalam keadaan selamat.
“Saya amat terkejut kerana Aariz Hayyan tidak pernah ada sejarah masalah kesihatan sejak dari dalam kandungan lagi. Kelahirannya juga tiada sebarang komplikasi. Malah, dia dilahirkan secara normal dan cukup bulan,” katanya.
Menurutnya, tiada langsung tanda-tanda menunjukkan bayi mereka mengalami masalah kesihatan yang meragut nyawanya.
“Sebelum ini, dia sihat dan tiada demam, batuk mahupun selesema. Cuma pada malam sebelum kejadian itu, dia tidur agak lewat berbanding kebiasaan.
“Kebiasaannya, dia akan terus tidur sejurus selepas saya menyusukan dia. Namun pada malam itu, dia macam mahu ‘bermain sendiri’ tetapi tidak menangis.
“Saya lihat dia bermain dengan jari dan tangannya sendiri lebih kurang 30 minit sebelum tidur. Siapa sangka, itu adalah detik terakhir saya melihatnya bernyawa,” katanya.
Katanya, dia sedih dengan pemergian satu-satunya anak lelaki mereka yang tidak sampai sebulan kelahirannya.
“Bayangkan, belum sempat sebulan saya memegang sijil kelahirannya, saya terpaksa melangkah ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sekali lagi bagi mengurus sijil kematiannya pula.
“Apatah lagi, Aariz Hayyan adalah anak lelaki pertama kami selepas kelahiran dua kakaknya masing-masing berusia enam dan tiga tahun,” katanya.
Terdahulu, Nabilah memuat naik hantaran mengenai sijil kelahiran dan sijil kematian anak bongsunya itu yang dibuat dalam tempoh genap sebulan.
Hantaran yang dimuat naik di Threads itu menyentuh hati ramai warga net yang kebanyakannya memberikan kata-kata semangat kepada Nabilah.
Nabilah berkata, dia hanya sekadar berkongsi cerita dan meluahkan perasaannya sebagai seorang ibu yang merindui anak syurganya.
“Saya tidak sangka hantaran itu mendapat perhatian warganet. Saya berasa sebak dan hiba apabila ramai orang sudi mendoakan serta memberi kata-kata semangat meskipun tidak mengenali kami.
“Justeru, saya berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa ada bersama di saat saya berada di titik paling rendah dalam hidup sepanjang bergelar ibu.
“Hanya Allah sahaja yang mampu membalas kebaikan mereka,” katanya yang memaklumkan jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selaseh, di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




