Ibu 'lesap', pengasuh tampil hulur kasih ambil jadi anak angkat

Ibu 'lesap', pengasuh tampil hulur kasih ambil jadi anak angkat

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Sepang: Selepas lebih dua minggu menjaga anak asuhan yang ditinggalkan ibu kandungnya, seorang pengasuh berhasrat untuk mengambil kanak-kanak lelaki berkenaan sebagai anak angkat.

Menceritakan kisahnya, Dg Che Nor Hakimah Mudah, 30-an, berkata, dia menerima kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu sebagai anak asuhan selepas dihantar ibu kandungnya pada 26 April lalu.

“Saya sudah maklumkan kepada wanita berusia 20-an itu bahawa upah dikenakan adalah RM800 sebulan bagi menjaga anaknya sepenuh masa dengan cuti sekali seminggu.

“Namun pada awal April lalu, saya hanya menerima RM100 sahaja dan minta untuk dia mengambil anaknya tetapi tiada respons diterima.

“Susulan itu, saya membuat laporan berhubung perkara berkenaan di Balai Polis Putra Perdana untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Putra Perdana, di sini, hari ini.

Che Nor berkata, selepas perbincangan dengan suami serta ahli keluarganya, dia membuat keputusan untuk mengambil kanak-kanak berkenaan sebagai anak angkat.

“Saya ada hubungi ibu kandung kanak-kanak itu pada 10 April lalu dan dia bersedia menyerahkan anaknya untuk jadi anak angkat saya.

“Justeru itu, saya sudah ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak dua kali bagi urusan pengambilan anak angkat,” katanya yang mempunyai tiga anak berusia antara sembilan hingga tiga tahun.

Menurutnya, dia kasihan dengan keadaan kanak-kanak itu yang kurang kasih sayang daripada ibu bapa.

“Sepanjang dia tinggal bersama, saya jatuh sayang padanya. Saya rasa kasihan melihat dirinya yang manja. Setiap malam, dia tidur bersama saya.

“Disebabkan keadaannya itu, saya mahu ambil dia sebagai anak angkat. Saya melihat dia seperti mengalami ‘speech delay’ (lambat percakapan).

“Justeru, saya merancang mahu menghantarnya ke sekolah pada tahun depan selain membuat pemeriksaan kesihatan seandainya permohonan diluluskan pihak JKM,” katanya.

Dia juga menegaskan bahawa dirinya tidak akan sama sekali menghalang ibu kandung kanak-kanak terbabit bertemu dengan anaknya.

Terdahulu, Che Nor membuat hantaran di media sosial mengenai hasratnya untuk mengambil anak asuhannya itu sebagai anak angkat.

Hantaran itu tular dengan rata-rata warganet memuji hasrat Che Nor yang mahu menjaga kanak-kanak lelaki berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top