Ibu maut, bayi cedera dilanggar lari

Ibu maut, bayi cedera dilanggar lari

am@hmetro.com.my

Penampang: Wanita bertarung nyawa lebih lapan jam sebelum disahkan meninggal dunia selepas dipercayai dilanggar lari di Jalan Kampung Kimbangan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, mangsa berusia 38 tahun bersama anak lelakinya berusia setahun lima bulan sedang berjalan sebelum dilanggar sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, mangsa yang parah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, untuk rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia jam 3.15 pagi hari ini.

“Anaknya pula kini dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis kini sedang mengesan pemandu kenderaan yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Sammy berkata pihaknya menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berhubung kenderaan terbabit untuk tampil membantu siasatan.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top