
Seorang wanita dipercayai ibu mentua kepada bekas ratu cantik kini diburu polis selepas didakwa menembak mati menantunya sendiri dalam kejadian tragis. Gambar kanan: Carolina Flores Gomez.
MEXICO CITY – Seorang wanita dipercayai ibu mentua kepada bekas ratu cantik kini diburu polis selepas didakwa menembak mati menantunya sendiri dalam kejadian tragis.
Suspek dikenali sebagai Erika Maria “N” dilaporkan melarikan diri selepas insiden pada 15 April 2026 yang mengorbankan Carolina Flores Gomez, 27, bekas pemenang Miss Teen Universe Mexico bagi wilayah Baja California.
Siasatan awal mendapati motif kejadian berkait rapat dengan konflik keluarga dan perasaan cemburu melampau terhadap hubungan mangsa dengan anak suspek.
Dalam rakaman dan keterangan yang diperoleh, suspek didakwa meluahkan rasa marah dengan mengatakan, “Kamu milik saya… dia telah merampas kamu.”
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman mangsa di kawasan elit Polanco menunjukkan mangsa berjalan ke belakang rumah sebelum diikuti suspek.
Tidak lama kemudian, enam das tembakan kedengaran dipercayai dilepaskan terhadap mangsa.
Suami mangsa, Alejandro Gomez, dilaporkan tiba di lokasi beberapa ketika selepas kejadian sambil mendukung anak mereka, sebelum menyedari apa yang berlaku.
Pihak berkuasa memaklumkan suspek telah melarikan diri sejurus insiden dan kini menjadi buruan polis selepas waran tangkap dikeluarkan.
Operasi memburu sedang giat dijalankan bagi mengesan wanita berkenaan.
Kes berprofil tinggi itu mencetuskan kemarahan orang ramai di Mexico, termasuk protes di Baja California yang menuntut keadilan terhadap mangsa.
Carolina Flores Gomez sebelum ini dikenali selepas memenangi gelaran Miss Teen Universe Baja California pada 2017.-Agensi


