mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Vokalis Kumpulan Dayana, Ahmad Ramli Yaakop, 61, kehilangan ibu mentuanya pada awal pagi ini.
Perkara ini dimaklumkan oleh Ahmad Ramli atau lebih sinonim dengan panggilan Ramlie Dayana menerusi media sosialnya.
“Pagi ini kami sekeluarga dikejutkan dengan pemergian ibu mertua saya, Saayah Awang. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” tulisnya.
Ramlie yang dihubungi berkata, Allahyarham ibu mertuanya sudah lebih setahun terkena serangan angin ahmar.
“Arwah yang berumur 76 tahun tinggal bersama adik ipar di Denai Alam dan menghembuskan nafas terakhir di situ.
“Jenazahnya dibawa balik ke Teluk Intan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Simpang Empat, Chenderong Balai pada hari ini,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Ramlie yang juga menetap di Teluk Intan, hadir ditemani isteri, Fadzilah Rosman, 57, bagi menerima sumbangan daripada Yayasan Kebajikan Artis Veteran (YKAT) semalam.
Program yang diadakan sempena sambutan perayaan Krismas serta Tahun Baru Cina ini berlangsung di
Maraz Hall Brickfields dan turut dihadiri oleh 14 artis veteran lain.
Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave dan turut disertai oleh Pemegang Amanah iaitu Datuk Nash, Datuk Nancie Foo dan Dr. S. Kanagarajan.
Bagi meneruskan kehidupan, Ramlie yang kurang ditawarkan undangan persembahan, kini aktif dalam TikTok untuk menjana pendapatan.
Dia reda memperolehi pulangan sekitar RM600, 00 sebulan yang diperolehi menerusi sesi live.
© New Straits Times Press (M) Bhd




