Ibu negara Fiji ditutup, majlis pengebumian jadi ‘super-spreader’ Covid-19

Ibu negara Fiji ditutup, majlis pengebumian jadi ‘super-spreader’ Covid-19
Selama ini Fiji berjaya membendung penularan virus tersebut melalui langkah pengasingan yang ketat. (Gambar Twitter / Kerajaan Fiji)

SUVA: Ibu kota Fiji, Suva terpaksa ditutup selama 14 hari mulai hari ini berikutan lonjakan kes Covid-19 berpunca daripada kluster majlis pengebumian yang dikategori sebagai “super-spreader”.

Kira-kira 100,000 penduduk di bandar ini diletakkan dalam zon sekatan dan perniagaan yang tidak penting ditutup setelah kes Covid-19 komuniti pertama tersebut dikesan sejak 12 bulan lalu.

Seorang tentera dijangkiti virus itu di sebuah pusat kuarantin dan dipercayai menyebarkannya kepada seorang pembantu rumah, yang kemudiannya merebak kepada sehingga 500 orang di sebuah majlis pengebumian.

Setiausaha tetap untuk perkhidmatan kesihatan dan perubatan, James Fong, berkata empat kes baharu muncul pada hujung minggu lalu.

“Tiga daripada kes itu membabitkan individu yang menghadiri majlis pengebumian yang kita kenalpasti sebagai super-spreader, termasuk suami isteri yang bebas bergerak dalam komuniti,” kata Fong.

Masih tidak jelas bagaimana individu keempat, seorang wanita dari pinggir Suva, dijangkiti.

“Dia dan suaminya telah ditempatkan di pusat kuarantin, tetapi atas dasar berhati-hati memaksa kami memperlakukan kes ini sebagai kemungkinan penyebaran dalam komuniti,” kata Fong.

“Oleh kerana kami masih belum dapat menentukan pergerakan komuniti ini dan mengenal pasti semua kontak mereka, kami terpaksa mengambil langkah pencegahan yang ketat.”

Selama ini Fiji berjaya membendung penularan virus tersebut melalui langkah-langkah pengasingan yang ketat dan kawalan sempadan, mencatat kurang dari 100 kes dan hanya dua kematian dalam 930,000 populasi.

Kemunculan penyebaran dalam komuniti ini adalah satu tamparan buat Fiji yang berharap untuk membuka gelembung perjalanan bebas kuarantin dengan Australia dan New Zealand, sumber utama kunjungan antarabangsanya.

Ekonomi Fiji sangat bergantung pada pelancongan, yang teruk terjejas akibat pandemik tersebut.

Menurut statistik kerajaan, jumlah pengunjung bulanan turun sehingga 99% daripada tahap pra-pandemik,

Australia dan New Zealand membuka gelembung trans-Tasman seminggu yang lalu yang membolehkan perjalanan bebas kuarantin antara kedua negara – walaupun New Zealand sejak itu menghentikan hubungan dengan Australia Barat akibat wabak Covid-19 di Perth.

Scroll to Top