Ibu pejabat Suu Kyi terbakar diserang Molotov cocktail

Ibu pejabat Suu Kyi terbakar diserang Molotov cocktail
Bangunan itu menjadi lokasi demonstrasi pada minggu pertama kudeta, yang dibenarkan oleh junta dengan mendakwa berlaku penipuan pada pilihan raya dimenangi NLP November lalu. (Gambar AP)

YANGON: Kebakaran kecil meletus di ibu pejabat parti pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi selepas diserang dengan bom petrol awal pagi tadi, kata jurucakap rasmi parti.

Negara itu menyaksikan tunjuk perasaan setiap hari sejak junta tentera menggulingkan pemimpin yang juga pemenang Nobel laureate pada 1 Feb lalu, menyebabkan pemberontakan menuntut kembali demokrasi.

Parti pimpinan Suu Kyi, Liga Nasional Demokrasi (NLD), kini berpecah sejak kudeta, dengan beberapa Ahli Parlimen kini bersembunyi.

Serangan sekitar 4 pagi di ibu pejabat NLD itu mengakibatkan kebakaran kecil.

“Ketika penduduk berhampiran maklum akan kebakaran itu, mereka memanggil bomba untuk memadamkan api dan ia berjaya dikawal sekitar jam 5 pagi,” kata Soe Win anggota NLD yang bertanggungjawab terhadap ibu pejabat itu kepada AFP.

“Nampak seperti seseorang membawa Molotov cocktail dan melemparkannya ke ibu pejabat.

Katanya, hanya pintu masuk yang terjejas akibat kebakaran dan anggota parti kini sedang menilai jumlah kerugian.

“Kami perlu membuat laporan polis… kami tidak tahu siapa yang bertanggungjawab, ini tidak baik,” katanya yang enggan membuat spekulasi mengenai serangan itu.

Kejadian berlaku ketika persediaan untuk sambutan Hari Angkatan Tentera, di mana junta tentera lazimnya memperagakan kekuatannya dalam perarakan tahunan mereka.

Protes yang sedang berlaku di Myanmar dikhuatiri mungkin mengakibatkan pergolakan apabila perarakan itu diadakan.

Bangunan itu menjadi lokasi demonstrasi pada minggu pertama kudeta, yang dibenarkan oleh junta dengan mendakwa berlaku penipuan pada pilihan raya dimenangi NLP November lalu.

Demonstrasi jalanan kini sudah menjadi kebiasaan di Myanmar tetapi pihak berkuasa kini bertindak semakin ganas dengan melepaskan tembakan gas pemedih mata, peluru getah dan peluru hidup bagi menyuraikan penunjuk perasaan.

Setakat ini, 320 orang maut dalam tunjuk perasaan itu, menurut Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP) tetapi dinafikan junta tentera yang menyatakan hanya 164 maut setakat ini.

Scroll to Top