am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Pasukan guaman yang mewakili seorang kanak-kanak perempuan, dikenali sebagai Pelajar A, bercadang memanggil ibunya sebagai saksi dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Pelajar A adalah antara lima pelajar yang dituduh membuli mangsa ketika berusia 13 tahun.
Peguam, Joan Goh berkata, prosiding semalam mendedahkan bahawa ibu pelajar itu mendakwa Zara Qairina mempunyai konflik dengan ibu dan neneknya sendiri.
Saksi kelapan inkues, bekas ketua warden Azhari Abd Sagap, yang dipanggil semula semalam, memberi keterangan bahawa dakwaan itu dibuat oleh ibu pelajar berkenaan menerusi perbualan WhatsApp dengan seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar.
“Hasrat kami adalah memanggil ibu anak guam saya sebagai saksi berikutan mesej teks yang dihantar sebelum ini kepada warden serta pada Mac lalu kepada salah seorang guru.
“Setiap kali prosiding berlangsung, anak guam saya ditemani bapanya, bukan ibunya, kerana ibunya akan memberi keterangan sebagai saksi,” katanya sambil kepada media selepas hari ke-54 inkues berkenaan berakhir hari ini, yang menyaksikan dua saksi kanak-kanak memberi keterangan.
Goh memaklumkan masih belum jelas bila mahkamah akan memanggil saksi berkenaan, namun pasukan guaman akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada ibu pelajar itu berhubung perbualan terbabit ketika prosiding itu nanti.
Dalama pada itu, Goh turut memaklumkan bahawa sebelum rehat tengah hari tadi, Koroner Amir Shah Amir Hassan menyatakan mahkamah mendapati terdapat guru yang dilihat mempunyai maklumat, dokumen atau eksibit yang tidak didedahkan lebih awal.
“Seiring perkembangan prosiding, dokumen dikemukakan satu demi satu, selalunya hanya selepas diminta,” katanya.
Mahkamah Koroner dijangka memanggil beberapa lagi saksi kanak-kanak dan guru apabila inkues bersambung Isnin ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




