Ibu Shila Amzah bakal berkahwin dengan duda

Ibu Shila Amzah bakal berkahwin dengan duda

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas dua tahun bercerai, ibu kepada penyanyi terkenal, Shila Amzah, 34, iaitu Fauziah Sarman, 57, mendedahkan dia bakal mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan seorang lelaki berstatus duda pada tahun ini.

Fauziah berkata, hatinya terbuka untuk berumah tangga semula selepas bertemu dengan duda berkenaan.

“Kami sudah berkawan selama beberapa bulan dan masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing. Dia seorang yang baik dan penyayang serta tahu sebahagian suka duka hidup saya.

“Sebagai orang dewasa, kita menjalin hubungan yang matang berbeza ketika zaman muda dahulu. Si dia juga mempunyai pekerjaan tetap dan ada ‘bisnes’ sendiri.

“Setakat ini, hubungan kami berjalan lancar dan direstui keluarga kedua belah pihak termasuk semua anak-anak saya.

“Shila juga sudah bertemu dengannya dan beritahu dia turut gembira bila dapat tahu saya sudah temui kebahagiaan dalam hidup sekarang,” katanya kepada Harian Metro.

Mengenai soal perkahwinan lagi, kata Fauziah, buat masa ini, dia masih belum bersedia untuk berkongsi secara terperinci membabitkan identiti si dia serta tarikh pernikahan dan sebagainya lagi.

“Insya-Allah, soal jodoh adalah urusan Allah SWT. Jika semuanya berjalan lancar, kami rancang untuk berkahwin pada tahun ini.

“Saya akan kongsi berita baik itu bila sampai masanya nanti. Saya mohon semua doakan yang terbaik,” katanya.

Fauziah pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi dan pelakon era 1980-an, Datuk ND Lala, 64, pada 1989 dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan empat anak iaitu Shila, Amir Syafiq, Amir Syahir dan Nur Syuhada.

Bagaimanapun, perkahwinan yang dibina selama 34 tahun itu berakhir apabila Fauziah mengesahkan sudah bercerai dengan ND Lala pada 2 Ogos 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top