Ibu tak putus harapan, terus hadir ke mahkamah tuntut keadilan untuk arwah Amoi

Ibu tak putus harapan, terus hadir ke mahkamah tuntut keadilan untuk arwah Amoi

mdroji@bh.com.my

Kuching: Terpaksa turun naik mahkamah sejak hujung tahun lalu, Nasib Kantok, 60, tidak pernah putus harapan untuk melihat pembunuh anaknya dikenakan hukuman setimpal.

Sejak tertuduh, Zakwan Mokhtar, 23, dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman pada 15 Disember tahun lalu, Nasib bersama beberapa ahli keluarga hadir ke mahkamah untuk mengikuti perjalanan kes itu.

Sehingga kini, tidak kurang tujuh kali mereka datang ke Mahkamah Kuching, untuk mengikuti rapat perkembangan kes itu selain mahu melihat wajah tertuduh.

“Setiap kali datang ke mahkamah, hati saya amat mengharapkan pelaku itu dikenakan hukuman setimpal.

“Walaupun kes ini berlarutan, saya tidak pernah putus asa untuk mengikuti proses undang-undang ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Kuching, hari ini.

Nasib hadir bersama anaknya, Nurul Asmira Lan serta suaminya, Lan Endor selepas mengetahui kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuching, hari ini.

Bagaimanapun, mereka dimaklumkan hakim tidak hadir kerana ada urusan lain dan kes berkenaan akan disebut semula pada tarikh yang belum ditetapkan.

Malah, harapan Nasib dan keluarganya untuk melihat wajah tertuduh hari ini juga tidak kesampaian kerana dia yang ditahan di Penjara Puncak Borneo tidak dibawa ke mahkamah.

Menurut Nasib, selain mengharapkan undang-undang mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh, dia berdoa agar Allah memberikan pembalasan terhadap pembunuh anaknya itu.

Kes pembunuhan Nurul Asikin yang dikenali sebagai Amoi dalam kalangan keluarga dan rakannya yang mayatnya ditemui reput di dalam longkang di Jalan Setia Raja, Tabuan, di sini, 15 Disember lalu menarik perhatian ramai berikutan tertuduh ketika disoal siasat polis mengaku melakukan pembunuhan itu kerana mahu mengambil barang kemas mangsa untuk digadai.

Ia bagi menampung perbelanjaannya menyaksikan perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Kemboja pada kejohanan Piala Mitsubishi Electric Asean 2024 di Phnom Penh, 8 Disember lalu.

Suspek ditahan pada 14 Disember lalu dan dia direman sehingga 22 Disember untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top