
Seorang wanita tergamak menikam anaknya hingga mati kerana mangsa berbohong tentang keputusan ujian di sekolah. Gambar hiasan
BENGALURU – Seorang wanita tergamak menikam anaknya hingga mati kerana mangsa berbohong tentang keputusan ujian di sekolah.
Kematian tragis itu menimpa remaja di India dikenali sebagai Sahiti Shivapriya, 17, selepas ibunya, Bhimaneni Padmini Rani naik angin setelah mendapat tahu mangsa gagal lima subjek dalam peperiksaan tersebut.
“Pada mulanya, Sahiti mendakwa dia memperoleh markah 95 peratus untuk program pendidikan prakuliah. Tetapi, ibunya tidak percaya dan bertindak menelefon rakannya untuk mengesahkan keputusan itu,” lapor media tempatan.
Bhimaneni yang berang bertindak mengambil pisau dapur lalu menikam anaknya.
“Dia berasa sangat malu kerana menganggap Sahiti sebagai anak kebanggaan keluarga. Dia turut mencanangkan kepada semua orang bahawa anaknya akan melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat (AS),” ujar jurucakap pihak berkuasa.
Setelah membunuh anaknya, Rani cuba menghabiskan nyawanya sendiri, namun sempat diselamatkan dan diberikan rawatan.
Akibat perbuatan itu, wanita tersebut telah ditahan pihak berkuasa dan didakwa. – Agensi