Meskipun hubungan kedua beranak ini dingin, ibu kepada pelakon Anna Jobling, Ariz Arop mengambil peluang mengucapkan selamat hari lahir ke-25 tahun buat anak perempuannya itu.
Menerusi perkongsian di Instagram, Ariz memuat naik fotonya bersama Anna ketika masih kanak-kanak.
“Happy birthday, anak. 14.8.2025,” tulisnya ringkas beserta emoji hati.
Manakala menerusi hantaran di Instagram Story (IGS), Ariz dilihat berkongsi luahan hati seolah-olah reda dan berserah kepada ketentuan Tuhan atas ujian yang sedang menimpa dirinya.
“Yang tahu sahaja tahu apa yang terbungkam di hati ini.
“Biarlah dunia di luar sana menghakimi. Allah sahaja yang maha mengetahui segalanya,”kongsinya.
Menjengah ke ruangan balas, rata-rata warganet memberikan pelbagai respons pada hantaran berkenaan termasuklah mendoakan agar hubungannya bersama Anna kembali baik.
Namun, ada juga yang menasihati Ariz supaya tidak lagi membuka aib anaknya.
Terdahulu, konflik dua beranak ini menjadi perhatian selepas Ariz berkongsi dirinya berada di balai polis susulan menerima perintah injunksi difailkan Anna.
Lebih menyentuh hati, Ariz mendakwa dirinya dilayan seperti anjing kurap oleh anak kandung sendiri.
Setakat ini, Anna kekal berdiam diri tanpa sebarang kenyataan mengenai isu berkenaan.