am@hmetro.com.my
Kangar: Seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan menganiaya anak perempuannya berusia 11 tahun di sebuah bilik di Kangar pada minggu lalu.
Tertuduh berusia 33 tahun hanya mengangguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati menganiayai anak kandungnya berusia 11 tahun sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dalam sebuah bilik sebuah rumah di Taman Kangar sekitar jam 6 pagi pada 6 April lalu.
Oleh hal demikian, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan) 2006 yang boleh dihukum mengikut Seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Ahmad Poad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nabilah dalam hujahannya memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 kepada tertuduh serta syarat tambahan tidak mendekati mangsa serta meletakkan kanak-kanak itu di bawah pihak berwajib.
Namun, tertuduh merayu wang jaminan dikurangkan kerana dia masih perlu keluar bekerja untuk mencari rezeki demi menanggung anaknya.
Namun selepas kejadian itu, anaknya tidak lagi tinggal sebumbung dan tinggal bersama bapa.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat dan tidak dibenarkan mendekati atau mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah juga menetapkan 16 Mei depan untuk sebutan semula dan bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.
Tertuduh gagal membayar wang jaminan dan dibawa ke Pusat Koreksional Perlis.
© New Straits Times Press (M) Bhd