Permaisuri: Nasib seorang ibu tunggal bersama lima anaknya terbela apabila diberikan sebuah rumah oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Zubaidah Che Mah, 36, berkata, pemberian rumah menerusi program Rumah Kasih Ihsan itu memberi sinar baharu dalam kehidupannya yang diibaratkan seperti “sudah jatuh ditimpa tangga”.
Selepas hampir 18 tahun hidup menumpang di rumah ibu bapa, Zubaidah berkata, anak-anaknya kini dapat menikmati hidup lebih selesa apabila tinggal di rumah sendiri yang berkeluasan 61.31 meter persegi dilengkapi tiga bilik, satu tandas serta satu bilik mandi.
“Pada 7 Mac lepas iaitu empat hari selepas berpisah dengan bekas suami, saya ditimpa kemalangan… kereta yang saya pandu terjatuh gaung. Ketika itu saya dalam perjalanan pulang ke rumah dari Kampung Pelong (di sini).
“Pada masa itu memang rasa sedih dan tiada semangat untuk teruskan hidup tetapi di sebalik setiap ujian yang Allah berikan pasti ada hikmahnya. Alhamdulillah rumah ini siap pada Ramadan lepas dan dapatlah kami anak beranak beraya di kediaman baharu tahun ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu 29 dekat sini hari ini.
Zubaidah yang berniaga benih ikan baung berkata, kemalangan berkenaan menyebabkan kaki kanan dan tangan kirinya patah manakala anak perempuannya berusia 11 tahun yang merupakan penumpang kereta terbabit turut cedera.
Akibat kecederaan itu, Zubaidah berkata, dia masih tidak dapat bergerak dan keluar mencari rezeki untuk menanggung kesemua lima anak yang masih bersekolah.
“Sekarang saya hanya bergantung kepada sedikit wang simpanan tetapi tidak tahu sampai bila boleh bertahan kerana menurut doktor kaki dan tangan saya ambil masa agak lama untuk pulih.
“Kerja saya mencari benih ikan baung di Tasik Kenyir (di Hulu Terengganu) dan bekalkan kepada peniaga di sekitar Manir (di Kuala Terengganu). Apabila tak dapat bekerja memang runsing memikirkan macam mana makan minum anak-anak dan duit sekolah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Terengganu Datuk Abdul Kahar Abdul Latif berkata ICU JPM telah membina sebanyak 676 Rumah Kasih Ihsan kategori Bina Baharu di Terengganu pada 2024 dan 2025.
Selain itu katanya sebanyak 808 penerima mendapat peruntukan hingga RM25,000 seorang bagi kategori baik pulih rumah di bawah program sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




