Ibu tunggal nekad wujudkan ‘gerubok rezeki’ guna gaji sendiri

AMPANG – Keperitan membesarkan lima anaknya bersendirian ‘memberi ilham’ kepada seorang ibu tunggal mewujudkan sebuah pusat bantuan menggunakan duit gajinya sendiri.

Ramlah Jais, 44, seorang pembantu tadbir berkata, selama bertahun-tahun dia berhadapan dengan kesempitan hidup termasuk putus bekalan makanan untuk menyekolahkan anak-anaknya hingga ke universiti.

Kini, katanya, dia nekad untuk berbakti semula kepada masyarakat dengan ‘caranya sendiri’ dengan mewujudkan sebuah pusat bantuan yang dinamakan ‘Gerubok Rezeki Cik Melah’.

“Dulu setiap kali beli barang-barang dapur di rumah, saya akan pastikan memperuntukkan sedikit barangan yang dibeli untuk jiran-jiran yang susah dan ibu tunggal seperti saya.

“Lama kelamaan ada rakan-rakan yang turut sama menambah stok makanan yang ada untuk disedekahkan.

“Kini saya nekad untuk menyewa sebuah kedai kecil di bawah flat saya kerana saya merasakan sudah tiba masanya segala bantuan ini diuruskan dengan lebih teratur,” katanya pada Malaysia Gazette di Pangsapuri Sri Intan di sini hari ini.

Tambah Ramlah, walaupun pendapatannya tidak sampai RM2,000 sebulan, namun dia tidak kisah membelanjakan lebih RM500 sebulan untuk membeli barang-barang makanan asas untuk disedekahkan.

Menurut Ramlah, dalam Islam tidak ada istilah boleh jatuh miskin kalau bersedekah.

Penerbit dan pelakon, Datuk Hans Isaac beramah mesra dengan Pengasas Gerubok Rezeki Cik Melah, Ramlah Jais di Pangsapuri Taman Sri Intan, Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 06 MAC 2021.

Katanya, walaupun dia sampai sekarang hanya tinggal di flat kecil dan menaiki motorsikal, itu lebih membahagiakan bila dapat berbakti pada masyarakat.

Sementara itu aktivis sosial dan pelakon terkenal, Datuk Hans Isaac menyifatkan ibu tunggal tersebut mempunyai sifat yang cukup terpuji kerana sanggup mewujudkan sebuah pusat bantuan sendiri dengan tanpa dibiayai daripada mana-mana pihak.

“Saya terpanggil untuk singgah ke Gerubok Rezeki Cik Melah setelah mendapat info tentang kerja-kerja amal yang dilakukannya.

“Hari ini saya melihat sendiri hasil kerja keras ibu tunggal ini, ini satu sifat terpuji yang patut kita semua contohi,” katanya yang turut menyumbang pelbagai barangan keperluan asas untuk gerobok rezeki tersebut. – Malaysia Gazette

Scroll to Top