am@hmetro.com.my
Seremban: Impian seorang ibu tunggal bergantung hidup dengan anak sulungnya hanya tinggal harapan selepas lelaki terbabit menghidap penyakit dalam perut yang kronik.
Nor Atikah Alilis, 47, berkata, penyakit itu mula menyerang anaknya, Khairul Azam Abdullah, 29, sejak setahun lalu.
“Selepas diperiksa, doktor mengesahkan Khairul Azam menghidap penyakit radang pancreas dan jangkitan kuman pada usus yang agak kronik.
“Keadaan ini menyebabkan saya tidak boleh bekerja kerana perlu menjaganya setiap masa, cuma kami bergantung kepada anak kedua, Norsabrina Rosman, 26, yang bekerja di syarikat swasta dengan pendapatan cukup untuk makan sahaja,” katanya.
Dia ditemui ketika menerima sumbangan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) di rumah sewanya di Taman Seri Mambau, di sini, petang semalam.
Katanya, apa yang membimbangkan ialah sewa rumah sudah tertunggak empat bulan dengan kadar RM580 sebulan.
“Saya memahami jika diarah keluar dari rumah sewa tetapi berharap agar diberi sedikit masa lagi kerana anak saya masih terlantar sakit, sekurang-kurangnya selepas dia sembuh dulu.
“Kami masih perlu berulang-alik ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk temujanji dengan doktor pakar dan Khairul Azam sudah dua bulan tidak boleh makan kerana dia akan muntah kembali, malah lebih banyak dari yang dia makan,” katanya.
Menurutnya, beberapa kali Khairul Azam terjatuh dalam bilik air akibat pitam dan yang terbaru dua hari lalu hinggakan dahinya benjol.
“Mungkin dia malu nak minta bantuan kerana dalam rumah hanya ada saya dan adik perempuannya menyebabkan dia berusaha sendiri ke tandas tanpa bantuan.
“Sudah saya beritahu kepadanya, kalau nak bergerak ke mana pun, saya atau adiknya akan bantu kerana bimbang kejadian buruk berlaku jika terjatuh di tempat yang bahaya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya akan membawa masalah keluarga terbabit kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat agar mereka mendapat bantuan bulanan bagi meringankan beban yang ditanggung.
© New Straits Times Press (M) Bhd




