KUALA LUMPUR – Dalam tempoh hanya beberapa bulan, Irene Roggero Ugues menyaksikan perubahan tingkah laku anak perempuannya, Rossella, apabila media sosial terus menyajikan kandungan berkaitan perbuatan mencederakan diri sendiri sebelum kanak-kanak berusia 12 tahun itu meninggal dunia akibat bunuh diri.
Menurut Reuters, hanya selepas kematian Rossella, Irene dan suaminya berjaya membuka peranti milik anak mereka.
Mereka mendapati Rossella menggunakan media sosial jauh lebih kerap daripada yang disangka, termasuk memiliki akaun Instagram rahsia bernama ‘Just a dead pers0n’, dengan angka sifar menggantikan huruf ‘o’.
Mereka berkata pada September 2023, Rossella mula mencari kandungan berkaitan kemurungan yang mencerminkan perasaannya ketika itu. Algoritma media sosial terus menyajikan kandungan serupa kepadanya dan hanya lima bulan kemudian, dia meninggal dunia.
“Pada satu tahap, keadaan itu seolah-olah berkembang dengan sendirinya sehingga menenggelamkan sisi dirinya yang ceria dan mudah bergaul – bahagian dirinya yang lebih positif,” kata Irene kepada Reuters di sebuah kafe di Asti, bandar kelahirannya di utara Itali.
Ibu bapa Rossella adalah antara beberapa keluarga di Itali yang memfailkan saman terhadap pemilik Instagram dan Facebook, Meta, serta pesaing utamanya dalam media sosial, TikTok.
Dalam tindakan kolektif pertama di Itali yang secara langsung mencabar syarikat media sosial dan algoritma mereka, keluarga terbabit menuntut sekatan lebih ketat terhadap akses golongan bawah umur kepada platform berkenaan serta peningkatan kesedaran mengenai risikonya.
Kedua-dua syarikat menafikan dakwaan dalam saman itu bahawa perkhidmatan mereka memudaratkan golongan muda dan menegaskan mereka mengambil langkah melindungi pengguna muda dengan membuang kandungan berbahaya, mengehadkan pendedahan kepada bahan berisiko serta membantu keluarga mengurus akaun anak-anak.
“Kami tahu ibu bapa bimbang mengenai keselamatan remaja mereka dalam talian. Sebab itu kami sentiasa membuat perubahan untuk membantu melindungi mereka,” kata jurucakap Meta sambil merujuk kepada ciri ‘Teen Accounts’ dan perlindungan terbina dalam platform itu.
“Kami sama sekali tidak bersetuju dengan dakwaan ini yang mengabaikan komitmen berterusan kami dalam menyokong golongan muda.”
TikTok pula berkata, usaha mereka termasuk penguatkuasaan ketat garis panduan yang bertujuan melindungi kesihatan mental dan tingkah laku pengguna, sambil menambah bahawa lebih 99 peratus kandungan yang melanggar peraturan itu telah dipadamkan.
“Kami juga terus melabur dalam langkah keselamatan bagi mempelbagaikan kandungan yang disyorkan, menyekat carian yang berpotensi memudaratkan serta menghubungkan pengguna yang terdedah kepada risiko dengan sumber sokongan,” kata jurucakap TikTok sambil merujuk kepada talian bantuan pencegahan bunuh diri tempatan.
Ketika ditanya secara khusus mengenai peranan Instagram dalam kes Rossella, Meta enggan mengulas secara langsung kerana kes itu masih dalam proses perundangan, namun menegaskan bahawa kesihatan mental golongan muda dipengaruhi pelbagai faktor.
Menurut syarikat itu, kesan platform media sosial bergantung kepada cara ia digunakan, langkah perlindungan yang disediakan serta tahap penglibatan ibu bapa.
Irene berkata, tragedi yang menimpa Rossella berlaku seperti satu ‘penyakit’ yang datang secara tiba-tiba dan memusnahkan, sehingga menyebabkan beliau dan suaminya tidak berdaya.
Katanya, tanpa algoritma berkenaan, “perkembangan tekanan emosi atau psikosis yang dialami anaknya mungkin berlaku secara lebih semula jadi.”
Penelitian terhadap platform digital semakin meningkat di seluruh Eropah, dengan Britain minggu ini mengumumkan rancangan untuk melarang penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun.
Di Amerika Syarikat, satu keputusan mahkamah mendapati Meta dan Google milik Alphabet cuai dalam mereka bentuk platform yang dianggap memudaratkan golongan muda.
Pengawal selia Kesatuan Eropah (EU) juga mempergiat penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Digital dengan mendesak platform dalam talian supaya mempertingkat perlindungan terhadap golongan bawah umur serta membendung kandungan berbahaya.
“Matlamatnya bukan untuk menafikan manfaat media sosial, tetapi menghapuskan mekanisme teknologi dan pemasaran yang menjadikannya berbahaya kepada pengguna paling rentan,” kata peguam Stefano Commodo yang mengetuai kes itu bersama persatuan ibu bapa Itali, MOIGE.
Ibu bapa terbabit berkata, langkah perlindungan yang disediakan platform media sosial masih tidak mencukupi kerana kanak-kanak boleh dengan mudah menemui panduan dalam talian untuk mengelakkan penapis atau had masa penggunaan dengan menukar peranti.
“Memantau penggunaan media sosial adalah tugas sepenuh masa. Ibu bapa perlu menghabiskan seluruh masa mereka untuk melakukannya dan itu tidak realistik,” kata Valentina Muraglie, ahli lembaga persatuan keluarga besar Itali.
Beliau berkata, anak lelakinya, Antonio, meninggalkan koleksi buku Harry Potter dan menggantikannya dengan aktiviti melayari media sosial ketika remaja.
Kini berusia 20-an, Antonio didakwa sukar memberi tumpuan kepada pembacaan mendalam, sesuatu yang menurutnya berpunca daripada algoritma media sosial yang mengalih perhatian.
“Apabila dia mula memiliki telefon pada usia 16 tahun, buku-buku semakin ditinggalkan sedikit demi sedikit.
“Dalam beberapa tahun sahaja dia berhenti membaca sepenuhnya,” katanya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa penggunaan media sosial secara bermasalah yang dicirikan oleh tingkah laku seperti ketagihan semakin meningkat dalam kalangan remaja dan dikaitkan dengan penurunan kesejahteraan, gangguan tidur serta risiko kesihatan yang lebih luas.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Amerika Syarikat, JAMA Pediatrics, menunjukkan terdapat perbezaan yang boleh diukur dalam perkembangan otak pengguna tegar media sosial, khususnya remaja yang otaknya masih berkembang.
Kes di Itali itu berhujah bahawa platform media sosial menggunakan mekanisme ganjaran yang meniru mesin judi bagi mewujudkan kebergantungan melalui rangsangan berulang terhadap dopamin, bahan kimia otak yang dikaitkan dengan rasa seronok dan ganjaran.
“Setiap tanda suka atau notifikasi mencetuskan pelepasan dopamin, sekali gus mengikat pengguna kepada platform dengan cara yang menyerupai ketagihan,” kata penasihat plaintif, Tonino Cantelmi, yang juga pengarah Sekolah Pengkhususan Psikoterapi Kognitif-Interpersonal di Rom.
Keluarga yang memfailkan kes itu berkata, kajian imbasan otak pengguna media sosial menunjukkan aktiviti pada bahagian otak yang dikaitkan dengan ketagihan.
Ketika diminta mengulas bukti saintifik mengenai ketagihan yang dikemukakan di mahkamah, Meta dan TikTok enggan mengulas lanjut atas alasan prosiding masih berjalan, sambil mengulangi kenyataan terdahulu mengenai rekod syarikat dalam aspek kesihatan mental.
Bagaimanapun, sesetengah ahli psikologi mengingatkan agar tidak membuat kesimpulan mudah mengenai kesan media sosial terhadap remaja.
“Pendekatan paling sihat dalam berdepan dengan remaja ialah menerima hakikat bahawa kita sebenarnya belum benar-benar bersedia,” kata Federico Tonioni, ketua Pusat Psikopatologi Web Hospital Gemelli di Rom.
Beliau berkata, beliau tidak dapat menyimpulkan bahawa pesakitnya akan mengalami penderitaan yang lebih ringan jika media sosial tidak wujud, sambil memberi amaran terhadap kebergantungan berlebihan kepada kawalan ibu bapa.
“Jika ada sesuatu yang berbahaya, ia ialah kawalan terhadap anak-anak. Golongan muda perlu didengari. Kawalan bukan satu bentuk kehadiran yang sihat. Jarak yang paling sihat ialah kepercayaan.”
Irene berkata, beliau menyertai saman itu bagi memastikan ibu bapa lain menyedari risiko yang tidak diketahuinya sehingga sudah terlambat untuk menyelamatkan Rossella.
“Kami memandang ringan beberapa risiko dan tidak tahu ia wujud, tetapi orang lain masih boleh bertindak. Tiada gunanya saya menyimpan perkara ini untuk diri sendiri dan saya tidak fikir Rossella akan keberatan mengenainya.” – Bernama-Reuters



