am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, dijangka menjadi saksi terakhir yang memberi keterangan dalam prosiding inkues, kata peguam, Mohd Syahrulnizam Mohd Salleh.
Berita Harian melaporkan Mohd Syahrulnizam berkata, anak guamnya Noraidah, sememangnya ada dalam senarai saksi, tetapi masih belum dapat dipastikan bila beliau akan memberi keterangan.
“Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan kemungkinan ibu Zara Qairina akan dipanggil pada penghujung urutan saksi, bergantung pada perbincangan.
“Beliau ada dalam senarai, tetapi tidak diketahui bila akan dipanggil. Sama ada pada Januari atau Februari tidak dapat dipastikan.
“Setakat ini, perbincangan adalah memanggil beliau sebagai saksi terakhir supaya isu-isu yang timbul dapat diseimbangkan dan dijelaskan,” katanya selepas prosiding tamat hari ini.
Beliau menjelaskan, prosiding inkues yang disambung semula semalam sepatutnya dijadualkan berlangsung hingga 13 Februari, tetapi akan dipendekkan kepada 5 Februari.
Hingga hari ini, bekas pengetua dan ketua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha sudah dipanggil semula di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan.
Esok, beberapa saksi kanak-kanak dijangka memberi keterangan.
Seorang guru akan dipanggil
Sementara itu, rakan sepasukan Syahrulnizam, Shahlan Jufri, berkata mereka memohon kepada mahkamah untuk meminta seorang saksi, iaitu seorang guru, dipanggil untuk memberi keterangan.
“Saksi itu tiada dalam senarai saksi. Namun selepas kami meneliti nota prosiding, kami dapati bahawa saksi itu perlu memberi keterangan dan hakim bersetuju supaya guru itu dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya.
Inkues bermula pada 3 September tahun lalu selepas Zara Qairina yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia sehari selepas dia ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolah pada 16 Julai.
Prosiding disambung semula esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




