am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pihak polis bertanya sebanyak dua kali kepada ibu Zara Qairina Mahathir, 13, berhubung pelaksanaan post-moterm atau proses bedah siasat terhadap mangsa, ketika berada di hospital pada 17 Julai lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, namun pendirian ibu mangsa, Noraidah Lamat, masih kekal untuk tidak mahu proses bedah siasat dilakukan bagi menyegerakan pengebumian.
“Pegawai penyiasat berjumpa dengan ibu mangsa dan memaklumkan mengenai keperluan untuk melakukan proses itu. Ibu mangsa ketika itu menyatakan dia hendak menyegerakan pengebumian kerana anaknya sudah cukup derita.
“Di sini pihak polis dan pengarah siasatan mengakui ada ketidakpatuhan dari segi prosedur siasatan di pihak pegawai polis yang berkenaan.
“Pegawai polis pula bila minta maklumkan kepada ibu. Ibu kata dia tak nak buat. Dia nak segerakan pengebumian dan doktor yang bertugas pada jam 5 petang di bilik mayat sekali lagi menemui ibu dan ibu kekal dengan pendirian,” katanya pada sesi penerangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Zara Qairina iaitu pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah, ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada 3 pagi, 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari selepas itu.
Pada masa sama, Saifuddin Nasution berkata, Noraidah kemudiannya mengisi dan menandatangani surat akuan enggan bedah siasat mayat atas kemahuan sendiri disaksikan oleh kakak iparnya.
“Dokumen semua siap dan keputusan itu dibuat atas kehendak ibu dan didokumenkan secara sah. Sikap pegawai penyiasat polis waktu itu menghormati sepenuhnya (permintaan ibu).
“Dari sudut Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) itu dianggap sebagai tidak patuh dan ditegur dan polis akan mengambil tindakan dalaman,” katanya.
Sementara itu, dalam sesi menjawab sesi perbahasan, Saifuddin Nasution berkata, tindakan Noraidah menandatangani surat akuan itu adalah fakta dan ia sama sekali tidak bermaksud untuk meletakkan ibu mangsa dalam posisi bersalah.
Beliau berkata, sama ada ibu mangsa diberi kefahaman berhubung proses bedah siasat, perkara itu boleh dijelaskan melalui inkues nanti.
“Jauh sekali apabila sebut soal persetujuan ibu menandatangani surat akuan itu, tidak terlintas bahawa kenyataan fakta terbabit adalah untuk meletakkan ibu dalam posisi bersalah.
“Saya hanya maklumkan fakta bahawa pegawai penyiasat khilaf dan niat dia hendak permudahkan urusan ibu dan menyegerakan proses pengebumian.
“Namun tindakan itu tidak akan dipertahankan malah jabatan siasatan jenayah mengambil pendirian akan membuat langkah susulan,” katanya.
Terdahulu, dalam sesi perbahasan, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mempersoalkan sama ada ibu mangsa ada diberi penjelasan berhubung kepentingan melakukan bedah siasat ketika kematian itu berlaku.
© New Straits Times Press (M) Bhd