rnoraina@hmetro.com.my
Shah Alam: Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin kekal dipenjara apabila Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan untuk menangguhkan hukuman penjara selama lima tahun selepas didapati bersalah mengabaikan anaknya itu, pada 31 Oktober lalu.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin menolak permohonan tertuduh, Ismanira Abdul Manaf selepas mengambil kira dan meneliti beberapa alasan yang dikemukakan kedua-dua pihak pendakwaan serta peguam bela.
“Selepas meneliti afidavit pemohon dan responden, juga hujahan bertulis kedua-dua pihak termasuk mendengar hujahan lisan, mahkamah membuat keputusan bahawa permohonan untuk penangguhan hukuman ditolak.
“Mahkamah mendapati tiada keadaan khas untuk membenarkannya (penangguhan hukuman),” katanya.
Pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali dan Ahmad Iqbal Azman manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Pada 19 November lalu, Ismanira memfailkan permohonan bagi menangguhkan hukuman penjara atas kesalahan mengabaikan anak lelakinya itu.
Ismanira, 30, dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas didapati bersalah mengabaikan anaknya yang juga kanak-kanak autistik sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.
Hakim Dr Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Beliau memerintahkan Ismanira menjalani hukuman di Penjara Wanita Kajang bermula 31 Oktober lalu, selain menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan cagaran RM3,000.
Ismanira turut diarah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan pindaan Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya Zayn Rayyan yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment berkenaan antara 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pendakwaan kes dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




