Ibu Zayn Rayyan kemuka rayuan terhadap keputusan mahkamah

Ibu Zayn Rayyan kemuka rayuan terhadap keputusan mahkamah

ajohari@bh.com.my

Kuala Lumpur: Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abul Matin, Ismanira Abdul Manaf hari ini merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun berkait kesalahan mengabaikan anak sulungnya.

Ismanira didapati bersalah oleh Hakim Dr Syahliza Warnoh pada 31 Oktober lalu kerana mengabaikan Zayn Rayyan yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal kepada kanak-kanak autistik itu.

Wanita itu memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini dengan menamakan Pendakwa Raya selaku responden, melalui firma guaman Tetuan Haresh Mahadevan & Co.

Perkara itu disahkan peguam yang mewakili Ismanira, 30, ketika dihubungi media hari ini.

Menurut notis rayuan itu, Ismanira merayu kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana tidak berpuas hati terhadap keseluruhan keputusan mahkamah berkenaan.

Ia di mana perayu telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama lima tahun, bon berkelakuan baik selama tempoh dua tahun dengan cagaran RM3,000, dengan seorang penjamin tempatan serta melaksanakan khidmat masyarakat selama tempoh 120 jam dalam tempoh enam bulan dari tarikh habis tempoh penjara.

Syahliza memutuskan Ismanira bersalah selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dan memerintahkan bekas kerani itu menjalani hukuman penjara di Penjara Wanita Kajang, bermula dari tarikh sabitan.

Dalam keputusannya, Syahliza dilapor berkata, kesalahan mengikut Akta Kanak-Kanak 2021 tidak memperuntukkan taksiran atau definisi bagi perkataan pengabaian di bawah Seksyen 31(1)(a) akta tersebut.

Beliau berkata, mahkamah tidak terikat dengan taksiran dan perspektif psikologi bagi mana-mana organisasi atau pertuduhan, sama ada sesuatu tindakan tertuduh adalah pengabaian atau tidak, perlu ditentukan oleh fakta dan keterangan dalam sesuatu kes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top