Manila: Kamar Rayuan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menolak rayuan pihak bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte, yang memohon pembebasan sementara daripada tahanan, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Mahkamah rayuan itu mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Kamar Praperbicaraan I Ja. 26 untuk terus menahan bekas presiden itu di Pusat Tahanan ICC di Belanda, berikutan kebimbangan bahawa beliau berisiko melarikan diri.
Menurut jurucakap ICC Oriane Maillet barisan hakim rayuan sebulat suara mengesahkan keputusan Dewan Praperbicaraan I yang memerintahkan Duterte kekal dalam tahanan.
“Kamar Rayuan menolak atau mengetepikan semua hujah pihak pembelaan dan menolak sepenuhnya alasan rayuan yang dikemukakan,” katanya pada Jumaat malam.
Sebelum ini, pihak pembelaan mengemukakan satu alasan rayuan dengan mendakwa yang Dewan PraPerbicaraan I terkilaf dari segi fakta dan undang-undang serta menyalahgunakan budi bicaranya apabila tidak mengambil kira laporan berkaitan keadaan kesihatan Duterte yang dikemukakan sebelum ini kerana ia datang daripada pihak yang terlibat dalam prosiding.
Bagaimanapun, Kamar Rayuan menyatakan bahawa laporan itu tidak mengandungi sebarang maklumat baharu mengenai keadaan kesihatan Duterte, memandangkan dua pengamal perubatan yang dipilih oleh pihak pembelaan tidak menjalankan pemeriksaan baharu terhadap beliau.
Mahkamah turut menegaskan yang penilaian terhadap faktor risiko, termasuk kesan keadaan kesihatan Duterte terhadap risiko itu merupakan penentuan undang-undang yang perlu dibuat oleh Dewan PraPerbicaraan dan tidak memerlukan bantuan daripada pengamal perubatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




