ICQS Pengkalan Kubor diserbu orang ramai ingin pulang beraya

ICQS Pengkalan Kubor diserbu orang ramai ingin pulang beraya

am@hmetro.com.my

Tumpat: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor, di sini meriah dengan orang ramai yang ingin menggunakan feri serta bot untuk pulang ke kampung halaman dengan menyeberangi Sungai Golok sempena Aidiladha.

Susulan daripada perkhidmatan feri dan bot sama ada milik Malaysia atau Thailand yang tidak beroperasi esok, orang ramai terutama warga Selatan Thai memenuhi perkarangan ICQS ini sejak jam 6 pagi tadi meskipun kaunter Imigresen dibuka jam 7 pagi manakala perkhidmatan pengangkutan air itu pula memulakan operasi jam 8 pagi.

Bagi penduduk dari Narathiwat, Rina Deraman, 53, dia mengambil keputusan untuk pulang hari ini kerana perlu menyelesaikan kerjanya sebagai pembantu rumah terlebih dahulu sebelum diberi cuti oleh majikannya.

Dia yang tidak sabar untuk tiba di kampung halaman juga memaklumkan akan menjalankan ibadat korban esok dengan mengambil satu bahagian.

“Saya sudah lama bekerja di Malaysia dengan sebelum ini membuka kedai makan di Terengganu dan setiap kali Aidiladha memang akan pulang ke kampung.

“Sambutan Aidiladha di kampung halaman lebih seronok lebih-lebih lagi saya turut mengambil satu bahagian untuk ibadah korban esok,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tinjauan yang dibuat menjelang petang ini, kelihatan orang ramai masih ramai beratur sama ada di laluan ke jeti feri atau bot di sebelahnya memandangkan kedua-dua perkhidmatan itu dijangka tamat operasi hari ini jam 6.30 petang nanti.

Difahamkan, sejak dua hari lalu lagi suasana di ICQS ini sudah menerima kehadiran pengunjung yang ramai dengan purata sekitar 3,000 orang dan pergerakan dari Malaysia memasuki Thailand lebih ramai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top