Ida Nerina tak sangka tiket Visits 'sold out'

Ida Nerina tak sangka tiket Visits 'sold out'

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengarah, Ida Nerina bersyukur apabila teater Visits karya asal Allahyarham Jit Murad yang dipentaskannya semula mendapat sambutan dan tiketnya habis dijual.

Ida berkata, dia paling tersentuh apabila teater menampilkan Datin Sofia Jane, Nabila Huda dan Nadia Aqilah itu turut menarik penonton baharu termasuk golongan wanita berusia yang pertama kali menonton teater.

“Ada seorang wanita cakap dia seorang guru dan datang dengan adik serta anaknya. Masa dia masuk, saya agak hairan juga tapi dia cakap sangat seronok. Saya suka lihat kejutan begitu.

“Kami memang nak semua golongan penonton datang menghargai teater. Kalau tiada penonton, buat apa? Tapi malam pertama memang ‘sold out’,” katanya.

Ida berkata, dia mementaskan semula karya Jit itu selepas dua dekad atas sebab naskhah terbabit cukup istimewa.

“Penulisan Jit sangat luar biasa dan istimewa. Penonton boleh terjemahkan penulisannya sampai ke tahap lapisan mana pun. Perkataan-perkataan yang digunakannya pintar,” katanya.

Biarpun berdepan cabaran dari segi pembiayaan, dia nekad meneruskan projek itu. Berbekalkan bajet sendiri, Ida dan rakan kongsi, Datuk Zahim Albakri mahu realisasikan teater Visits.

“Sejak tahun lalu kami cuba mohon dana kerajaan dan syarikat swasta untuk pelbagai program mengenang arwah Jit, tetapi tidak berjaya. Saya faham ekonomi tidak menentu ketika ini.

“Akhirnya, kerana tidak sanggup tangguh lagi, saya dan Zahim tiada pilihan kecuali mengeluarkan duit sendiri,” katanya.

Pementasan semula Visits dibuat sempena JitFest 2025 yang berlangsung sepanjang tahun bagi mengenang Allahyarham Jit yang banyak berjasa kepada industri teater tanah air.

Dalam pada itu, Ida juga terharu tiga pelakon utamanya Sofia, Nabila dan Nadia memang sudah diputuskan sejak 2023.

“Jika hendak diikutkan, saya tidak mampu panggil mereka. Tetapi atas dasar cinta, mereka sudi terima saya,” katanya.

Visits yang memperjuangkan hak wanita dan mengupas tema kesihatan mental, kelas sosial dan keibuan dipentaskan selama 10 hari di Nero Theatre, PJPac, Petaling Jaya, sehingga 29 Jun ini.

Jit atau nama sebenarnya Aziz Mirzan Murad yang juga pelakon, aktivis teater dan penulis meninggal dunia pada 12 Februari 2022.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top